KUALA LUMPUR 11 Sept - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah disenaraikan sebagai lapangan terbang kedua tersibuk di Asia Tenggara, menurut data terkini yang dikeluarkan oleh penyedia analisis perjalanan berpangkalan di UK, OAG Aviation Worldwide Ltd.
Sehingga September, KLIA merekodkan 3.32 juta tempahan tempat duduk, peningkatan sebanyak 7.5% berbanding tempoh sama tahun lalu. Lapangan Terbang Changi di Singapura mendahului dengan 3.58 juta tempahan, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta berada di tempat ketiga.
Pengarah Pusat Kajian Kes Pengurusan dan Kepimpinan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Narentheren Kaliappen berkata, pencapaian ini bukan sekadar angka semata-mata, sebaliknya mencerminkan pemulihan dan pertumbuhan lebih luas Malaysia sejak pandemik.
“Tren trafik penumpang di KLIA menunjukkan peningkatan ketibaan pelancong ke Malaysia, menandakan momentum kukuh dan keyakinan yang semakin meningkat. Syarikat penerbangan turut memperluaskan laluan melalui Malaysia dan lebih ramai pengembara memilih KLIA bukan sahaja sebagai pusat transit tetapi juga sebagai hab destinasi,” katanya.
Malaysia menerima sekitar 27 juta pelawat antarabangsa pada tahun 2024, dengan jumlah itu dijangka meningkat 15% kepada 31 juta pada tahun ini.
“Momentum ini menyediakan asas kukuh untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, yang menyasarkan 45 juta pelancong dan resit pelancongan bernilai RM270 bilion,” ujarnya kepada Bernama.
Dari segi persaingan serantau, Changi masih menjadi penanda aras dengan mengendalikan sekitar 69 juta penumpang tahun lalu. KLIA pula semakin merapatkan jurang dengan kira-kira 57 juta penumpang, manakala Soekarno-Hatta kekal antara yang tersibuk dengan antara 49 hingga 55 juta penumpang setahun.
Narentheren menegaskan pertumbuhan KLIA melebihi jangkaan, sekali gus mengukuhkan peranannya dalam aspek konektiviti serantau.
Mengulas lanjut, beliau berkata KLIA perlu terus menambah baik kapasiti, meningkatkan pengalaman penumpang dan memperluaskan laluan jarak jauh sambil menerapkan inisiatif kelestarian bagi mengekalkan momentum pertumbuhan.
“Pengembangan laluan jarak jauh, khususnya ke Amerika Utara, Afrika dan bandar-bandar kecil di Eropah, turut akan mengukuhkan kedudukan KLIA sebagai hab serantau.
“Malaysia sejak dahulu bercita-cita menjadikan KLIA lebih daripada sekadar lapangan terbang nasional. Pencapaian terbaharu ini membuktikan kita semakin hampir ke arah visi itu, terutama dengan kelebihan dwi-jenama iaitu syarikat penerbangan premium Malaysia Airlines serta syarikat penerbangan tambang rendah bertaraf dunia, AirAsia,” katanya.
Tambah Narentheren, prestasi KLIA turut menyokong aspirasi ekonomi Malaysia secara langsung, dengan resit pelancongan dijangka mencecah RM125.5 bilion tahun ini.
“Ini memperkukuh ekonomi tempatan, daripada sektor hotel, pengendali pengangkutan, hinggalah ke peruncit, selain mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan jenama antarabangsa Malaysia.
"Ringkasnya, apabila KLIA berkembang, keseluruhan ekonomi negara turut berkembang bersama-sama,” jelas beliau. - DagangNews.com








