KLCI terus mencatat kenaikan sederhana, sektor teknologi cemerlang, sektor pembinaan alami tekanan - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KLCI terus mencatat kenaikan sederhana, sektor teknologi cemerlang, sektor pembinaan alami tekanan - Maybank IB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 17 Okt – Indeks FBM KLCI meneruskan aliran meningkat secara sederhana walaupun sentimen pasaran keseluruhan kekal berhati-hati, dengan bilangan kaunter rugi mengatasi kaunter untung, menurut Maybank Investment Bank.

 

Bank pelaburan itu berkata, pada akhir dagangan semalam, KLCI menambah 0.74 mata atau 0.05% untuk ditutup pada paras 1,612.29 mata, disokong oleh prestasi kukuh kaunter-kaunter berwajaran tinggi seperti PETGAS, AXIATA dan NESTLE.

 

"Namun begitu, market breadth kekal negatif dengan 578 kaunter rugi mengatasi 536 kaunter untung, mencerminkan sentimen yang masih bercampur-campur di kalangan pelabur.

 

"Sektor pembinaan menunjukkan penyusutan, apabila terus menguji paras sokongan sebelum ini, sekali gus mengukuhkan isyarat ‘bearish divergence’ yang menunjukkan kemungkinan berlakunya konsolidasi lebih lanjut dalam tempoh terdekat," katanya dalam analisa sorotan saham hari ini.

 

Maybank IB berkata, sebaliknya, Indeks Mid 70 mencatat prestasi lebih baik berbanding pasaran secara keseluruhan, didorong oleh lonjakan dalam kaunter teknologi. 

 

Saham berkaitan semikonduktor seperti FRONTKN, INARI dan MPI berada dalam kalangan peneraju kenaikan, menyumbang kepada peningkatan sentimen sektor teknologi.

 

Secara teknikal, corak carta sektor teknologi kini membentuk pola ‘bullish flag’, menandakan potensi kenaikan dalam jangka masa terdekat dan wajar diberi perhatian oleh pelabur.

 

Bagi pergerakan harian, KLCI dijangka bergerak dalam julat 1,600 mata hingga 1,620 mata, manakala paras sokongan kekal pada 1,550 mata dan 1,500 mata. - DagangNews.com