KLCI ditutup lebih tinggi, disokong lantunan CIMB dan minat belian sektor teknologi - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KLCI ditutup lebih tinggi, disokong lantunan CIMB dan minat belian sektor teknologi - Maybank IB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 8 Jan – Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (KLCI) menutup dagangan lebih tinggi pada akhir sesi semalam, disokong oleh lantunan semula saham CIMB susulan tekanan jualan pada sesi sebelumnya, sekali gus mencerminkan kemunculan aktiviti pembelian pada harga rendah dalam kaunter berkenaan, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB)

 

Minat belian dalam sektor teknologi turut berterusan, mendorong indeks berkenaan mencatatkan kenaikan untuk sesi ketiga berturut-turut.

 

Pada penutupan dagangan, KLCI meningkat 4.48 mata atau 0.27% kepada 1,676.83 mata. Antara saham peneraju kenaikan termasuk 99SMART, CIMB dan TENAGA.

 

Bagaimanapun, sentimen keseluruhan pasaran kekal berhati-hati apabila keluasan pasaran mencatatkan prestasi negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 565 berbanding 512.

 

Mengikut Maybank IB, sektor pengguna kini sedang menguji paras rintangan utama.

 

"Sekiranya berlaku penembusan, ia berpotensi menandakan kesinambungan aliran menaik. Saham pengguna bersaiz besar seperti 99SMART dan NESTLE dilihat kekal berdaya tahan, tanpa petunjuk jelas pembalikan menurun setakat ini," katanya dalam laporan harian analisis saham hari ini.

 

Dari sudut teknikal, KLCI dijangka bergerak dalam julat 1,665 mata hingga 1,686 mata dalam dagangan seterusnya, dengan paras sokongan dikenal pasti pada 1,640 mata dan 1,600 mata- DagangNews.com