KUALA LUMPUR 15 Dis - Indeks penanda aras Bursa Malaysia, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), berpotensi meningkat sehingga 1,700 mata akhir tahun 2025 sekiranya rali saham perbankan dapat dikekalkan, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Dalam laporan analisis pasaran hari ini, firma itu menjangkakan setiap kenaikan 5% harga saham tiga bank utama berupaya menambah kira-kira 25 mata kepada KLCI, sekali gus menjadikan sektor perbankan sebagai pemacu utama pergerakan indeks dalam jangka pendek.
"Sehubungan itu, saranan BELI dikekalkan terhadap beberapa kaunter perbankan utama termasuk CIMB Group, Public Bank, RHB Bank dan AMMB Holdings," kata firma itu.
Bagi asas jangka terdekat, Maybank IB berkata, sasaran KLCI akhir tahun 2025 ditetapkan pada 1,660 mata, bersandarkan penilaian 15 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) unjuran 2026.
Sasaran tersebut dilihat realistik memandangkan indeks ditutup pada 1,637 mata pada 12 Disember, hanya sekitar 23 mata di bawah sasaran yang ditetapkan.
Kata Maybank IB lagi, dalam jangka sederhana, sasaran KLCI akhir tahun 2026 ditetapkan pada 1,730 mata, berdasarkan penilaian 15 kali PER unjuran 2027.
"Tahun 2026 dijangka menyaksikan persekitaran pasaran yang lebih positif, dipacu oleh hala tuju dasar yang lebih jelas serta komitmen lebih kukuh kerajaan dalam melaksanakan pembaharuan struktur yang telah lama dirancang." katanya.
Selain itu, tambah Maybank IB, pelaksanaan projek dijangka semakin rancak, disokong oleh peningkatan perbelanjaan modal (capex) oleh sektor korporat, manakala isi rumah pula dijangka menikmati pertumbuhan gaji yang lebih stabil serta sentimen pengguna yang semakin baik.
Gabungan faktor-faktor ini dijangka menyediakan latar belakang pasaran yang lebih konstruktif, sekali gus menyokong prestasi KLCI dalam tahun mendatang. - DagangNews.com








