KUALA LUMPUR 8 Okt – Indeks FBM KLCI meneruskan aliran penurunan apabila tekanan jualan berterusan merentasi kebanyakan sektor, menyaksikan aktiviti pengambilan untung secara menyeluruh di pasaran.
Menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB) pada akhir dagangan semalam, KLCI susut 8.06 mata atau 0.49% untuk ditutup pada paras 1,630.03 mata.
Indeks FBM Mid 70 dan Small Cap turut ditutup lebih rendah, menandakan sentimen lemah di kaunter-kaunter berkapitalisasi kecil dan sederhana.
"Sektor hartanah kekal sebagai penyumbang utama kerugian, mencatatkan penurunan melebihi 1% untuk dua sesi berturut-turut," kata dalam analisis gambaran keseluruhan dagangan saham hari ini.
Menurut Maybank IB, kaunter-kaunter utama yang menyumbang kepada kejatuhan indeks termasuk IHH Healthcare, Maxis dan Tenaga Nasional.
Pasaran menyaksikan sentimen negatif dengan 717 kaunter rugi mengatasi 368 kaunter untung, manakala jumlah dagangan harian mencecah 3.48 bilion saham dengan nilai keseluruhan RM2.98 bilion.
Walau bagaimanapun, hanya tiga sektor berjaya mencatatkan peningkatan, iaitu teknologi, perindustrian, dan pengguna.
Namun begitu, ketiga-tiga sektor ini kini berada dalam keadaan terlebih beli (overbought) selepas kenaikan kukuh baru-baru ini.
Sehubungan itu, Maybank IB menasihatkan pelabur supaya mengetatkan paras henti rugi (stop-loss) bagi melindungi keuntungan sedia ada.
Secara teknikal, firma itu menyasarkan KLCI dijangka bergerak dalam julat 1,620 hingga 1,640 mata untuk sesi dagangan hari ini, dengan paras sokongan utama dilihat pada 1,550 mata dan 1,500 mata. - DagangNews.com








