KUALA LUMPUR 9 Jan — Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengalami penarikan semula pada sesi dagangan terkini, dengan hanya enam saham bermodal besar mencatatkan kenaikan, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Walaupun begitu, firma penyelidikan itu berkata, prospek pasaran saham tempatan bagi tahun 2026 dilihat kekal sihat, disokong oleh minat yang meluas dalam kalangan pelabur terhadap saham bermodal sederhana dan kecil.
"Pada penutupan dagangan semalm, KLCI susut 7.26 mata atau 0.43% kepada 1,669.57 mata, dengan saham PCHEM, TENAGA dan PBBANK muncul sebagai antara penyumbang utama kepada penurunan indeks.
"Namun, sentimen keseluruhan pasaran kekal positif apabila jumlah kaunter untung mengatasi kaunter rugi, iaitu 579 berbanding 489, mencerminkan minat belian yang masih berdaya tahan di pasaran," katanya dalam laporan harian analisis saham hari ini.
Menurut Maybank IB, dari segi sektor, hanya sektor teknologi dan pembinaan mencatatkan kenaikan untuk empat sesi berturut-turut.
Katanya, prestasi ini berpotensi menandakan peringkat awal pembalikan arah aliran menaik, memandangkan trend penurunan dalam kedua-dua sektor tersebut dilihat semakin perlahan.
“Keadaan ini menjadikan sektor teknologi dan pembinaan wajar dipantau oleh pelabur yang mencari peluang pembelian pada harga menarik,” katanya lagi.
Maybank IB berkata, dari sudut teknikal, KLCI dijangka bergerak dalam julat antara 1,660 mata hingga 1,680 mata dalam sesi dagangan seterusnya, dengan paras sokongan utama kekal pada 1,640 mata dan 1,600 mata. - DagangNews.com








