KK Pang letak jawatan Pengarah Urusan FSBM selepas berjaya bawa keluar daripada PN17 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KK Pang letak jawatan Pengarah Urusan FSBM selepas berjaya bawa keluar daripada PN17

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 26 Jan – Pengarah Urusan FSBM Holdings Berhad, Pang Kiew Kun meletak jawatan berkuat kuasa hari ini selepas berjaya membawa Kumpulan keluar daripada klasifikasi PN17 serta memulihkan integriti kewangan dan tadbir urus syarikat.

 

Sepanjang tempohnya, Pang mengetuai transformasi FSBM daripada penyedia perkhidmatan teknologi tradisional kepada syarikat pembuatan pintar dan penyelesaian berasaskan AI, menyokong pengeluar Malaysia—terutamanya PKS—dalam inisiatif Industri 4.0 dan pendigitalan.

 

Di bawah kepimpinannya juga, FSBM MES Elite Sdn Bhd menerima Anugerah Khas Kecemerlangan Teknologi pada Malaysia Smart Manufacturing Awards (MSMA) 2025, mengiktiraf syarikat sebagai pemangkin utama Industry 4.0 di Malaysia.

 

"Saya akan terus terlibat di peringkat anak syarikat, termasuk FSBM MES Elite Sdn. Bhd. dan C2M Elite Sdn. Bhd., bagi memberi tumpuan kepada usaha mengembangkan perniagaan Pembuatan Pintar Kumpulan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Pang berkata, beliau menyertai FSBM dengan mandat jelas: untuk menyelamatkan syarikat dan membina semula kredibilitinya.

 

"Mandat itu telah dicapai. Akaun telah diselaraskan, status PN17 diselesaikan, dan rangka tadbir urus dipulihkan. Lembaga Pengarah kini mewarisi asas yang bersih untuk sebarang keputusan masa hadapan.”

 

"Seiring dengan langkah syarikat mengubah hala tuju perniagaan, saya percaya ini masa yang tepat untuk saya menumpukan perhatian pada bidang di mana saya boleh memberi impak paling besar—memajukan ekosistem AI dan digital Malaysia serta membantu pengeluar menaikkan rantaian nilai melalui teknologi dan analisis data berasaskan AI yang praktikal dan boleh diskalakan.

 

"Saya meninggalkan FSBM dengan keyakinan penuh terhadap masa depannya,” kata Pang. - DagangNews.com