KUALA LUMPUR 26 Jan - KJ Technical Services Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh KJTS memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan China Construction Yangtze River (Malaysia) Sdn. Bhd. (CCYRM) bagi bersama-sama melaksanakan projek pusat data dan infrastruktur di Malaysia serta pasaran serantau terpilih.
Perjanjian yang ditandatangani hari ini tersebut, merangkumi kerjasama dalam pengenalpastian, pembangunan, bidaan, dan pelaksanaan projek, termasuk di negara-negara seperti Kemboja, Thailand, Singapura, dan Turki, tertakluk kepada persetujuan bersama.
Di bawah kerjasama ini, KJTS SB akan memanfaatkan kepakarannya dalam reka bentuk sistem penyejukan dan pemanasan, pengurusan tenaga, serta perkhidmatan pengurusan fasiliti, kata syarikat itu dalam makluman di Bursa Malaysia.
CCYRM pula akan menyumbangkan kepakaran dalam kerja-kerja awam, struktur, seni bina, dan pembinaan, serta koordinasi projek secara menyeluruh. Kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerja secara eksklusif dalam projek di bawah kerangka ini.
KJTS SB, yang ditubuhkan pada 2005, merupakan pakar dalam pengurusan tenaga penyejukan, kejuruteraan, perolehan, pembinaan, dan pentauliahan sistem tenaga, selain pengurusan fasiliti.
Syarikat ini juga mengendalikan pusat kawalan pusat yang memantau sistem tenaga penyejukan dan menyokong kakitangan di tapak melalui analitik data.
KJTKJST

CCYRM, ditubuhkan pada 2013 dan anak syarikat milik penuh China Construction Third Engineering Bureau Co., Ltd., mempunyai pengalaman luas dalam perancangan bandar dan projek pembinaan berskala besar di China dan antarabangsa.
Kerjasama ini dijangka mengukuhkan kedudukan KJTS SB dalam sektor pusat data dan infrastruktur, meluaskan capaian kepada projek berskala besar serta meningkatkan nilai tawaran kepada pelanggan.
Perjanjian ini tidak menimbulkan sebarang obligasi kewangan segera bagi mana-mana pihak, kata KJTS.
Lembaga Pengarah KJTS, selepas menilai terma-terma kerjasama ini, yakin bahawa perjanjian ini selaras dengan kepentingan strategik syarikat, menyediakan kerangka untuk pengembangan serantau dan pelaksanaan projek secara terkoordinasi. - DagangNews.com








