KUALA LUMPUR 10 Feb - Kumpulan Kitacon Bhd menerusi Kitacon Sdn Bhd menerima kontrak RM104.3 juta daripada Sime Darby Property (BBR3 Asset 1) Sdn Bhd bagi pembinaan 20 unit kilang berkembar di Bandar Bukit Raja III, Klang, Selangor.
Kumpulan itu berkata, kontrak itu melibatkan kerja-kerja bangunan utama melibatkan 20 unit kilang berkembar bersama tiga unit pejabat dua tingkat serta tiga unit pencawang Tenaga Nasional Bhd (TNB) termasuk pembangunan infrastruktur dan kerja-kerja lain yang berkaitan.
"Projek itu akan bermula pada 24 Februari 2025 dan akan perlu disiapkan dalam tempoh 18 bulan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham Kumpulan Kitacon bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, dan seterusnya sehingga tamat kontrak.
Terdahulu, Pada Januari 2025, kumpulan itu memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM65.68 juta bagi kerja-kerja pembinaan banglo di Sungai Buloh, Selangor.
Projek itu melibatkan pembinaan 30 unit baglo satu tingkat dan 39 banglo dua tingkat serta satu unit pencawang TNB.
Ia akan bermula pada 3 Februari 2025 dan dijangka siap dalam tempoh 20 bulan.- DagangNews.com








