KUALA LUMPUR 28 Okt - Kumpulan Kitacon Bhd memperoleh kontrak bernilai RM86.58 juta daripada Earth Pavilion Sdn Bhd bagi kerja-kerja utama bangunan meliputi dua fasa projek perumahan bertingkat di The Mines Resort City, Selangor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata anak syarikat milik penuhnya, Kitacon Sdn Bhd, telah menerima surat anugerah pada hari ini bagi kerja pembinaan dan penyempurnaan Fasa 3 dan Fasa 4 pembangunan berkenaan.
"Fasa 3 akan merangkumi pembinaan 20 unit rumah berkembar tiga tingkat dan 14 unit rumah ‘zero-lot’ tiga tingkat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Syarikat itu menambah, Fasa 4 pula terdiri daripada 33 unit rumah ‘zero-lot’ tiga tingkat, empat unit banglo tiga tingkat, serta 10 unit banglo tiga tingkat dengan separa bawah tanah.
Kontrak tersebut dijadualkan bermula pada 1 November dan akan berlangsung selama 24 bulan.
“Projek ini dijangka memberi sumbangan positif kepada keuntungan serta aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dan seterusnya, sehingga siapnya kontrak tersebut,” kata Kitacon.
Syarikat itu menambah walaupun kontrak ini melibatkan risiko biasa dalam industri pembinaan seperti kelewatan penyiapan, kekurangan bahan dan kekangan tenaga kerja, pihaknya akan mengambil langkah sewajarnya untuk mengurangkan kesan risiko berkenaan. - DagangNews.com








