Kinergy jual 49% pegangan projek loji janakuasa kepada B.Grimm Power dari Thailand | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kinergy jual 49% pegangan projek loji janakuasa kepada B.Grimm Power dari Thailand

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Jan – Kinergy Advancement Bhd menjual 49% pegangan dalam projek loji janakuasa gas berskala gigawatt kepada syarikat tenaga dari Thailand, B.Grimm Power Public Company Limited, melalui syarikat tujuan khas (SPV) JATI Cakerawala Sdn. Bhd.

 

Di bawah perjanjian itu, B.Grimm Power melabur RM41.52 juta untuk memperoleh 49% kepentingan dalam JATI, manakala Kinergy mengekalkan 51% pegangan dan terus mengawal hala tuju projek.

 

Langkah ini membolehkan Kinergy menjalin kerjasama strategik jangka panjang dengan B.Grimm Power dalam peluang tenaga terpilih di rantau ini.

 

Kinergy berkata penjualan pegangan ini menandakan transformasi strategik syarikat daripada kontraktor Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) kepada pemilik dan pengendali loji janakuasa sendiri.

 

Projek di Perlis ini selaras dengan rancangan pelaburan B.Grimm Power sebelum ini, iaitu lebih RM4.3 bilion dalam sektor tenaga dan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.

 

Kinergy kini berdiri sebaris dengan pengeluar tenaga bebas lain seperti Malakoff dan YTL Power, tetapi berbeza kerana ia merupakan syarikat tersenarai bersaiz kecil di bawah RM1 bilion yang turut memiliki dan mengendalikan loji tenaga sendiri.

 

Konsortium yang diterajui Kinergy dan disokong oleh kepakaran teknikal serta operasi IPP berskala besar B.Grimm Power akan bertanggungjawab membangunkan loji CCGT baharu yang dijangka menjadi aset tenaga penting bagi negara.

 

Pengerusi Eksekutif Timbalan dan Pengarah Urusan Kumpulan Kinergy Datuk Lai Keng Onn berkata pembangunan infrastruktur tenaga memerlukan komitmen jangka panjang dan rakan kongsi yang berdisiplin serta berpengalaman.

 

Beliau menambah keputusan B.Grimm Power untuk melabur pada peringkat awal menunjukkan keyakinan terhadap nilai jangka panjang projek dan kepentingan pembangunan aset yang boleh beroperasi secara boleh dipercayai selama beberapa dekad.

 

Dari sudut kewangan, struktur projek ini membolehkan Kinergy menjana pendapatan dalam dua fasa utama sepanjang kitaran hayat aset, bermula dengan penglibatan dalam kerja-kerja EPCC semasa fasa pembinaan.

 

Kinergy dijangka memanfaatkan pengalaman luas dalam projek janakuasa gas untuk meraih margin pelaksanaan antara 2027 hingga 2031, sekali gus menyokong pendapatan jangka sederhana kumpulan.

 

Selepas loji siap dan ditauliahkan, projek ini dijangka menyumbang pendapatan berulang dan stabil kepada Kinergy di bawah model IPP, dengan elektrik dijual kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) bersama TNB dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga tahun ini, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

 

Kerja-kerja EPCC dijadualkan bermula pada suku pertama 2027, dengan sasaran operasi komersial Fasa 1 menjelang akhir 2029, meletakkan Kinergy pada kedudukan baharu sebagai pembina, pemilik dan pengendali aset tenaga di Malaysia. - DagangNews.com