Kia laksanakan pemasangan tempatan di Kedah mulai 3Q26 melalui kerjasama strategik Stellantis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kia laksanakan pemasangan tempatan di Kedah mulai 3Q26 melalui kerjasama strategik Stellantis

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 8 JunKia Malaysia mengambil langkah penting dalam pengembangan jangka panjang apabila menjalin kerjasama strategik dengan Stellantis Malaysia bagi pemasangan tempatan (CKD).

 

Usaha itu menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) membolehkan Stellantis sebagai pemasang kontrak bagi model-model Kia di fasiliti pengeluarannya di Gurun, Kedah yang bermula suku ketiga 2026.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kia Malaysia serta Kia Sales Malaysia, Hyung Ho Kim berkata, langkah ini mengukuhkan kehadiran jenama automotif Korea Selatan itu di Malaysia dan pasaran ASEAN.


"Kerjasama terbaharu itu merupakan pencapaian penting dalam strategi syarikat bagi mengembalikan, membina semula dan memperkukuh kedudukan Kia sendiri di Malaysia," jelas beliau dalam kenyataan.


Menurutnya, kolaborasi itu membolehkan Kia memanfaatkan ekosistem automotif tempatan, meluaskan operasi, meningkatkan kualiti pembuatan serta memperkenalkan model-model baharu pada masa hadapan.


Sementara itu, Pengarah Urusan Stellantis ASEAN, Isaac Yeo berkata, usaha ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak memperkukuh ekosistem automotif negara dan memacu pembangunan jangka panjang.


 

Kia Stellantis_DagangNews2026



Ujar beliau, di bawah kerjasama tersebut, fasiliti Stellantis di Gurun yang sudah beroperasi sejak 2021 akan digunakan untuk pemasangan pelbagai model Kia bagi tujuan pasaran tempatan dan eksport.


"Kilang seluas 57 hektar itu dilengkapi kemudahan pemasangan, cat dan badan kenderaan, litar ujian serta zon khas vendor dan pembekal, selain menggaji lebih 400 tenaga kerja mahir," jelasnya lagi.


Fasiliti tersebut juga berkeupayaan memasang pelbagai model dan jenis rangkaian kuasa, termasuk model sedia ada seperti Kia Sportage dan Kia Carnival serta model-model baharu bakal diperkenalkan.


Menurut Kia Malaysia, kerjasama itu meningkatkan fleksibiliti operasi, kapasiti pengeluaran dan keupayaan syarikat, serta menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab pemasangan dan eksport serantau.


Langkah itu juga dilihat selari dengan usaha kerajaan memperkukuh industri automotif tempatan menerusi peningkatan aktiviti CKD dan pembangunan rantaian bekalan domestik secara mampan. - DagangNews.com