Khazanah melabur lebih RM6 bilion di Medini Iskandar, Desaru Coast - Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Khazanah melabur lebih RM6 bilion di Medini Iskandar, Desaru Coast - Parlimen diberitahu

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 29 Okt - Khazanah Nasional Bhd telah melabur lebih daripada RM6 bilion dalam pembangunan Medini Iskandar dan Desaru Coast di Johor setakat ini, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

 

Kementerian itu berkata, jumlah pelaburan tersebut bertujuan untuk menarik lebih banyak pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia, khususnya dalam sektor pembangunan hartanah, perumahan, pendidikan dan pelancongan di kedua-dua kawasan berkenaan.

 

“Pelaburan Khazanah adalah berdasarkan mandat kerajaan untuk membangunkan Iskandar Malaysia sebagai koridor ekonomi khas dan usaha ini telah diperluaskan ke Desaru Coast selaras dengan usaha pembangunan yang lebih menyeluruh di Johor.

 

“Secara umumnya, pembangunan kawasan seperti Medini Iskandar dan Desaru Coast memerlukan tempoh kematangan yang panjang (30 hingga 40 tahun) serta pelaburan pemangkin untuk membangunkannya secara optimum,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.

 

Kementerian itu menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH–Puchong) yang bertanya tentang status pembangunan kawasan Medini Iskandar dan Desaru Coast termasuk jumlah pelaburan dari Khazanah dan entiti kerajaan lain, pelaburan swasta yang ditarik serta kesan berangkai yang telah dijana.

 

Kementerian itu berkata, Medini Iskandar telah dikategorikan sebagai Zon B dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), manakala Desaru Coast merupakan sebahagian daripada Zon G.

 

Menurut kementerian itu lagi sejak pelancaran pada tahun 2008, Medini Iskandar telah berjaya menarik pelbagai syarikat tempatan dan antarabangsa untuk berpengkalan di situ yang telah mewujudkan sekitar 10,000 pekerjaan di Iskandar Puteri.

 

Antara rakan strategik di Medini Iskandar ialah syarikat pelaburan dan kewangan seperti Kuwait Finance House, Mitsui & Co., Mubadala Investment Company serta Temasek Holdings.

 

Syarikat pembangunan hartanah dan pembinaan seperti CI Medini, E&O, Mah Sing, Sunway Group, UEM Sunrise serta UMLand.

 

Turut beroperasi di Medini Iskandar, syarikat perkhidmatan profesional seperti DHL Global Forwarding, Ernst & Young, KPMG serta Common Ground, universiti seperti Raffles University dan sektor kesihatan & hospitaliti seperti Gleneagles dan LEGOLAND Malaysia.

 

Antara inisiatif yang dilaksanakan bagi mengukuhkan tarikan pelaburan serta menyokong pembangunan ekonomi digital di Medini Iskandar ialah Medini Net Zero Carbon CBD (NZCC), yang telah menerima pengiktirafan 5 Diamonds pada Anugerah Low Carbon Cities 2030 Challenge (LCC2030C).

 

Selain itu, Tech Medini juga telah dilancarkan sebagai zon teknologi dan inovasi yang menempatkan industri GBS, bioteknologi dan kejuruteraan.

 

Kementerian itu berkata, sejak diasaskan, Desaru Coast telah berjaya menarik jenama-jenama ternama dunia seperti The Westin, Hard Rock, Anantara, Mandarin Oriental dan One°15 Marina dan kini sedang aktif dalam meneliti prospek kerjasama dengan beberapa pihak tempatan dan antarabangsa untuk potensi pelaburan secara langsung di Desaru.

 

Sejak pembangunannya, Desaru Coast telah memberi sumbangan yang ketara kepada pertumbuhan sektor pelancongan Johor, dengan jumlah pengunjung seramai 700,000 setahun, Desaru Coast telah merangsang lebih daripada 70 perniagaan baharu di sekitar destinasi, sekali gus mewujudkan rantaian ekonomi yang lebih meluas untuk komuniti sekitar.

 

Setakat ini, Desaru Coast turut mewujudkan kira-kira 1,500 peluang pekerjaan, dengan 98% daripadanya terdiri daripada warganegara Malaysia.

 

Sehubungan itu, kementerian berkata usaha akan terus diperkukuh bagi memastikan kedua-dua destinasi tersebut terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan. - DagangNews.com