Khazanah lupus 2.33% pegangan dalam TNB, dianggarkan raih RM1.69 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Khazanah lupus 2.33% pegangan dalam TNB, dianggarkan raih RM1.69 bilion

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 9 Dis - Khazanah Nasional Bhd mengurangkan lagi pegangan dalam Tenaga Nasional Bhd (TNB) selepas melupuskan 135.65 juta saham, bersamaan 2.33% kepentingan dalam syarikat utiliti itu pada 4 Disember lalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pelupusan tersebut menyaksikan pegangan langsung Khazanah susut kepada 15.82%, bersamaan 921.97 juta saham.

 

Dana itu turut memegang 2.23% pegangan tidak langsung (130 juta saham), menjadikan pegangan keseluruhan kini 18.05% atau 1.05 bilion saham.

 

Sementara pemakluman itu tidak mendedahkan nilai pelupusan, namun berdasarkan data urus niaga luar pasaran Bloomberg menunjukkan saham tersebut dijual pada RM12.46 sesaham, sedikit di bawah harga penutupan RM12.50.

 

Berdasarkan kiraan anggaran, Khazanah meraih RM1.69 bilion daripada transaksi berkenaan.

 

Tahun lalu, Khazanah melupuskan 118 juta saham TNB, mewakili 2.03% pegangan.

 

KWSP turut kurangkan pegangan

Dalam pemakluman berasingan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut menjual 40.18 juta saham langsung, bersamaan 0.69% kepentingan dalam TNB. Susulan jualan itu, KWSP kini memegang 1.24 bilion saham atau 21.25%, kekal sebagai pemegang saham terbesar TNB.

 

Saham TNB ditutup tidak berubah pada RM12.70, memberikan nilai pasaran kira-kira RM74.03 bilion. Secara keseluruhan, saham syarikat itu telah merosot lebih 13% setakat tahun ini, dipengaruhi sentimen pasaran utiliti dan faktor makroekonomi. - DagangNews.com