Khazanah jual 3.13% pegangan dalam TIME dotCom dianggarkan bernilai RM335.8 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Khazanah jual 3.13% pegangan dalam TIME dotCom dianggarkan bernilai RM335.8 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 April – Khazanah Nasional Bhd melupuskan 3.13 peratus pegangan dalam TIME dotCom Bhd melibatkan kira-kira 57.9 juta saham dalam satu transaksi besar baru-baru ini.

 

Pelupusan itu menyaksikan Khazanah mengurangkan sedikit pegangan dalam syarikat telekomunikasi berkenaan, namun masih mengekalkan kepentingan strategik dalam TIME dotCom.

 

Berdasarkan data tidak rasmi Bloomberg, transaksi berkenaan dibuat pada harga sekitar RM5.80 sesaham, dengan nilai keseluruhan dianggarkan sehingga RM335.82 juta.

 

Harga jualan tersebut mencerminkan diskaun kira-kira 7.6 peratus berbanding harga penutupan tertinggi TIME dotCom yang mencecah RM6.28 pada 11 Mac lalu.

 

Selepas urus niaga itu, Khazanah Nasional Bhd masih memegang kira-kira 10.04 peratus kepentingan dalam TIME dotCom, terutamanya melalui Pulau Kapas Ventures Sdn Bhd.

 

Khazanah sebelum ini telah melakukan beberapa siri pelupusan pegangan dalam TIME dotCom secara berperingkat sejak 2023 menerusi transaksi besar di pasaran.

 

Sementara itu, TIME dotCom terus mencatat prestasi kewangan memberangsangkan apabila keuntungan bersih meningkat 11.8 peratus kepada RM428.16 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

 

Hasil syarikat turut meningkat 6.1 peratus kepada RM1.79 bilion, disokong oleh permintaan stabil terhadap perkhidmatan jalur lebar dan infrastruktur data.

 

TIME dotCom turut meningkatkan dasar pembayaran dividen kepada 75 peratus daripada keuntungan bersih selepas pelarasan item luar biasa, berbanding 50 peratus sebelum ini, sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap prestasi jangka panjang kumpulan itu. - DagangNews.com