KUALA LUMPUR 28 Okt – Key ASIC Bhd menerima tempahan berulang bernilai RM2.09 juta bagi cip Kecerdasan Buatan (AI) miliknya daripada sebuah syarikat teknologi yang dikenali sebagai ‘Customer B’.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, kumpulan pertama cip tersebut sudah dihantar manakala baki unit masih dalam proses penghantaran kepada pelanggan tersebut.
Cip AI keluaran Key ASIC kini digunakan dalam pelbagai aplikasi termasuk pengkomputeran berprestasi tinggi (High-Performance Computing, HPC), automasi industri, teknologi perubatan dan aplikasi AI di peringkat tepi (Edge AI).
Ia direka khas dengan canggih bagi mempercepatkan pemprosesan data, menjimatkan penggunaan tenaga serta membolehkan skala penggunaan yang lebih luas.
Sejak projek cip AI ini diperkenalkan, ia telah menyumbang pendapatan keseluruhan sebanyak RM10.9 juta kepada syarikat.
Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Key ASIC, Eg Kah Yee berkata, tempahan tersebut mencerminkan kekuatan dan kedudukan syarikat yang semakin kukuh dalam pasaran semikonduktor AI.
Key ASIC merupakan syarikat semikonduktor tanpa kilang (fabless) yang memberi tumpuan kepada reka bentuk, pembangunan dan pengkomersialan litar bersepadu khusus (ASIC) serta sistem pada cip (System-on-Chip, SoC) untuk aplikasi dalam bidang AI, Internet Pelbagai Benda (IoT), pengkomputeran awan dan pengkomputeran tepi.
Baru-baru ini, Key Asic mengumumkan ia sudah memperoleh 21 paten merentasi pelbagai badan antarabangsa utama, termasuk Amerika Syarikat (AS), Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Malaysia dan Singapura.
Syarikat itu berkata, 19 permohonan lagi masih menunggu kelulusan yang melibatkan produk pemacu inovatifnya. - DagangNews.com








