Key Asic raih kontrak reka cip AI bernilai RM13.1 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Key Asic raih kontrak reka cip AI bernilai RM13.1 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Julai – Key Asic Bhd berjaya meraih kontrak untuk mereka bentuk cip kecerdasan buatan (AI) bernilai RM13.1 juta dengan sebuah syarikat teknologi terkemuka yang terlibat dalam reka bentuk, pembangunan, pembuatan dan penjualan produk berasaskan semikonduktor.

 

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Key Asic memaklumkan, kontrak tersebut merangkumi penghantaran cip AI berteknologi tinggi dalam tempoh enam hingga sembilan bulan.

 

"Cip AI berkenaan mempunyai jangka hayat produk minimum selama lima tahun dan akan menjadi tulang belakang kepada barisan produk pintar yang berupaya mengubah landskap industri global," katanya.

 

Sementara itu, Pengerusi Key Asic, Eg Kah Yee berkata, kekuatan utama syarikat terletak pada keupayaannya dalam membangunkan cip berprestasi tinggi dan penggunaan tenaga ultra-rendah yang menjadi satu keperluan penting dalam pasaran AI semasa.

 

"Perjanjian ini mencerminkan kepercayaan syarikat teknologi terkemuka terhadap keupayaan reka bentuk kami, dan meletakkan Key Asic di barisan hadapan inovasi AI global," katanya.

 

Key Asic juga menyasarkan untuk memanfaatkan kepakaran dalam pembangunan cip sebagai pemacu utama pertumbuhan jangka panjang terutamanya dalam sektor peranti pintar, automasi dan aplikasi industri berasaskan AI. - DagangNews.com