Keuntungan suku pertama Maxis melonjak 12.4% kepada RM417 juta, umum dividen interim 4 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan suku pertama Maxis melonjak 12.4% kepada RM417 juta, umum dividen interim 4 sen

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Mei – Maxis Berhad mencatat pertumbuhan keuntungan dua digit pada suku pertama berakhir 31 Mac 2026, disokong peningkatan hasil perkhidmatan, kecekapan operasi dan pertumbuhan berterusan merentas segmen pengguna serta perusahaan.

 

Syarikat telekomunikasi itu merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM417 juta bagi suku pertama 2026, meningkat 12.4% berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Maxis berkata, prestasi tersebut dipacu oleh pertumbuhan hasil perkhidmatan sebanyak 3.3% tahun ke tahun kepada RM2.24 bilion, selain peningkatan EBITDA sebanyak 4.2% kepada RM1.10 bilion.

 

“Prestasi itu menunjukkan keuntungan syarikat berkembang lebih pantas berbanding hasil, mencerminkan disiplin operasi dan kecekapan kos yang lebih baik dalam perniagaan kumpulan.

 

“Aliran tunai bebas operasi turut meningkat kepada RM983 juta hasil pengurusan modal kerja yang lebih kukuh serta pelaksanaan operasi yang konsisten sepanjang suku tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

 

t

 

Pada suku tersebut, Maxis merekodkan perbelanjaan modal (CAPEX) sebanyak RM142 juta yang tertumpu kepada pengukuhan infrastruktur rangkaian bersepadu termasuk peluasan rangkaian gentian optik dan naik taraf kapasiti rangkaian mudah alih.

 

Syarikat itu berkata, momentum pertumbuhan terus dipacu oleh pelaksanaan strategi yang jelas dengan tumpuan kepada penyelesaian digital, pendigitalan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan pengalaman pelanggan dan kecekapan operasi.

 

“Bagi segmen mudah alih pengguna, hasil perkhidmatan meningkat 3.5% kepada RM1.57 bilion, disokong pertambahan pelanggan pascabayar dan pemerolehan pelanggan baharu yang lebih bersasar.

 

“Jumlah pelanggan mudah alih Maxis meningkat 1.6% kepada 9.93 juta berbanding tempoh sama tahun lalu yang mengukuhkan kedudukan Maxis dalam pasaran telekomunikasi tempatan,” katanya.

 

Dalam segmen kediaman pengguna pula, jumlah langganan meningkat 2.5% kepada 807,000 pelanggan, namun hasil perkhidmatan susut sedikit sebanyak 1.2% kepada RM251 juta akibat persaingan harga yang semakin sengit dalam pasaran internet rumah.

 

Sementara itu, segmen perusahaan terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan apabila hasil perkhidmatan meningkat 5.3% kepada RM419 juta, dipacu permintaan lebih tinggi terhadap penyelesaian Internet Pelbagai Benda (IoT) dan rangkaian tetap.

 

t
Goh Seow Eng

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng berkata, prestasi suku pertama itu membuktikan strategi syarikat berada di landasan tepat dengan pertumbuhan hasil yang stabil terus menyokong peningkatan keuntungan yang lebih kukuh.

 

Menurut beliau, pendekatan operasi yang berdisiplin membolehkan Maxis mengekalkan prestasi kewangan sihat walaupun berdepan ketidaktentuan makroekonomi dan cabaran luaran.

 

“Bersandarkan permulaan yang memberangsangkan bagi tahun kewangan 2026, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan satu digit rendah bagi hasil perkhidmatan dan EBITDA, dengan intensiti CAPEX antara 10% hingga 12%,” katanya.

 

Beliau berkata, Maxis juga sedang giat mengoptimumkan rantaian bekalan dan operasi bagi mengurangkan kesan ketidaktentuan ekonomi global selain memastikan syarikat terus berada dalam kedudukan kukuh untuk menjana pertumbuhan mampan.

 

Susulan prestasi kewangan memberangsangkan itu, Lembaga Pengarah Maxis mengisytiharkan dividen interim sebanyak empat sen sesaham, mencerminkan komitmen syarikat untuk mengekalkan pembayaran dividen yang stabil kepada pemegang saham.

 

Dalam perkembangan lain, Maxis turut mencatat beberapa kemajuan strategik sepanjang suku pertama termasuk dilantik sebagai penyedia infrastruktur dan rakan telekomunikasi pilihan tunggal bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) untuk tempoh 10 tahun.

 

Syarikat itu turut memperkukuh inisiatif transformasi digital dengan memindahkan sistem operasi penting ke Wilayah AWS Malaysia selain memanfaatkan teknologi AI bagi meningkatkan keselamatan rangkaian dan perlindungan pelanggan daripada scam serta ancaman siber.

 

Bagi mempertingkat pengalaman pelanggan, Maxis memperkenalkan konsep runcit baharu di Maxis Centre 1 Utama yang menggabungkan pengalaman perkhidmatan mudah alih, internet kediaman dan perniagaan dalam satu ekosistem lebih moden dan interaktif.

 

Pada masa sama, syarikat itu turut melancarkan Pelan Famili Maxis baharu yang menawarkan internet rumah lebih pantas serta nilai lebih kompetitif bagi memenuhi permintaan isi rumah yang semakin bergantung kepada ketersambungan digital.

 

Ditubuhkan sejak 1995, Maxis kini memiliki liputan rangkaian yang mencapai 97% penduduk Malaysia menerusi perkhidmatan mudah alih dan gentian optik di bawah jenama Maxis dan Hotlink. - DagangNews.com