KUALA LUMPUR 20 April — Peningkatan ketara kos elektrik berisiko menghakis keuntungan Ranhill Utilities Berhad sehingga 30%, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap prestasi kewangannya.
Berdasarkan perkembangan tersebut, BIMB Securities menurunkan penarafan saham syarikat itu kepada ‘pegang’ daripada ‘beli’, selain menyemak turun harga sasaran (TP) kepada RM1.92 daripada RM2.07.
Menurut firma penyelidikan tersebut, pasaran mungkin memandang rendah mengenai kesan kenaikan kos elektrik terhadap operasi kumpulan berkenaan yang sangat bergantung kepada penggunaan tenaga.
"Kami difahamkan kos elektrik sahaja merangkumi sekitar 65% daripada jumlah kos operasi Ranhill Utilities, diikuti bahan kimia pula hanya mencecah sebanyak 14%," jelasnya dalam nota analisis.
Sehubungan itu tambah BIMB Securities, kenaikan harga tenaga dijangka memberi tekanan secara berterusan kepada kos operasi syarikat, terutama dalam persekitaran harga bahan api yang mahal.
Ujarnya, peningkatan kira-kira 5% dalam caj elektrik sahaja boleh menaikkan kos operasi kumpulan itu secara keseluruhan sebanyak 3.25% dan mengurangkan lagi keuntungan bersihnya sehingga 30%.
Tambah firma penyelidikan berkenaan, margin keuntungan selepas cukai (PAT) Ranhill Utilities juga dijangka boleh menyusut kira-kira 1.7 mata peratusan dalam senario peningkatan bil elektrik itu.

"Kami turut menekankan mengenai kewujudan jurang masa antara kenaikan kos dan pelarasan tarif air, menyebabkan tekanan kepada margin syarikat utiliti ini dalam jangka pendek," kata BIMB Securities.
Walaupun pelarasan tarif berkenaan dijangka mampu membantu untuk memulihkan margin dalam jangka sederhana, kesannya pula jelasnya, namun tidak dapat dirasai syarikat itu secara serta-merta.
Sehubungan itu kata firma tersebut, kesan pemindahan kos kepada pengguna dijangka berlaku secara berperingkat, menyebabkan tempoh penyusutan keuntungan dalam 12 hingga 18 bulan yang akan datang.
BIMB Securities justeru menyemak turun unjuran keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY26) sebanyak 11.8%, manakala FY27 dan FY28 masing-masing dikurangkan kira-kira 23.1% dan 1.7%.
"Kesan daripada kenaikan kos elektrik itu dijangka hanya mula dirasai oleh Ranhill Utilities secara lebih ketara bermula pada tempoh suku keempat tahun kewangan 2026 (4QFY26)," tambahnya.
Meskipun syarikat itu kekal sebagai saham defensif berasaskan pendapatan terkawal, firma tersebut berpandangan pemangkin jangka pendek adalah terhad untuk mengimbangi tekanan akibat kos berkenaan.
Secara keseluruhan, ketidaksepadanan masa antara kenaikan kos dan pelarasan tarif dijangka menjadi cabaran utama kepada prestasi kewangan syarikat dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com








