Keuntungan Mega First pada 4QFY25 dijangka lebih rendah ekoran dolar AS lemah – AmInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan Mega First pada 4QFY25 dijangka lebih rendah ekoran dolar AS lemah – AmInvest

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Jan – AmInvestment Bank menjangka keuntungan bersih Mega First Corporation Bhd (MFCB) bagi suku keempat tahun kewangan 2025 (4QFY25) akan menyusut berbanding suku sebelumnya ekoran nilai dolar AS yang lebih rendah memberi kesan kepada hasil daripada Don Sahong Hydropower Plant (DSHP) dalam ringgit Malaysia.

 

Namun, firma penyelidikan itu berkata kerugian daripada usaha sama Edenor Oleo dijangka berkurangan kerana syarikat telah mengambil beberapa langkah untuk menjimatkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan, sekali gus mengurangkan beban kewangan daripada projek tersebut.

 

“Mega First dijangka mencatatkan kerugian daripada usaha sama oleokimia (bahan kimia) sedikit lebih rendah bagi FY25, iaitu RM60 juta berbanding RM66 juta pada FY24.

 

“Segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) pula kekal menjadi penyumbang utama kepada EBIT syarikat, dengan DSHP menikmati jualan elektrik yang stabil hasil daripada paras air yang sihat dan kadar tarif yang meningkat. 

 

“Pemulihan dolar AS berpotensi meningkatkan EBIT DSHP sehingga 2% bagi setiap kenaikan 10 sen Dolar AS berbanding ringgit Malaysia,” kata AmInvest dalam nota kajiannya.

 

Bagi FY26, AmInvest menjangkakan EBIT segmen sumber (perlombongan batu kapur) akan kekal sekitar RM31 juta manakala segmen pembungkusan dijangka meningkat kira-kira 10% berikutan permintaan daripada pasaran baru seperti Amerika Syarikat walaupun menghadapi tarif import 19%. 

 

Pendapatan MFCB untuk FY26 dijangka berada pada RM1.314 bilion dengan keuntungan bersih RM344.1 juta, bersamaan EPS 36.4 sen. 

 

Syarikat dijangka membayar dividen 9.5 sen sesaham.

 

AmInvest mengekalkan cadangan Pegang ke atas saham Mega First dengan sasaran harga RM3.65 sesaham, berdasarkan PE FY26 sekitar 10 kali, selaras dengan purata lima tahun terakhir. 

 

Risiko utama termasuk kerugian berterusan daripada usaha sama oleokimia, kenaikan kos logistik dan bahan bakar seperti petroleum coke, serta kemungkinan dolar AS lemah yang menjejaskan hasil daripada DSHP. - DagangNews.com