Keuntungan bersih Oriental Interest meningkat 10.43% kepada RM39.26 juta bagi 4QFY2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan bersih Oriental Interest meningkat 10.43% kepada RM39.26 juta bagi 4QFY2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Okt – Oriental Interest Bhd (OIB) mencatat peningkatan keuntungan bersih sebanyak 10.43% kepada RM39.26 juta bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2025 (4QFY2025) berbanding RM35.55 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu.

 

Peningkatan itu disokong prestasi lebih baik dalam segmen pembangunan hartanah dan pembinaan am.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, OIB berkata, hasil kumpulan turut meningkat 7.02% tahun ke tahun kepada RM224.27 juta daripada RM209.56 juta pada 4QFY2024.

 

“Peningkatan hasil itu didorong oleh segmen pembangunan hartanah yang melonjak 6% kepada RM183.1 juta berbanding RM172.91 juta tahun sebelumnya. 

 

“Segmen tersebut mencatat keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM55.6 juta pada suku berkenaan, sedikit lebih tinggi berbanding RM55.18 juta pada tempoh sama tahun lalu,” kata OIB.

 

Segmen pembinaan am turut mencatat prestasi kukuh apabila hasil meningkat 10% kepada RM35.74 juta daripada RM32.43 juta sebelumnya, manakala keuntungan sebelum cukai naik 9% kepada RM1.21 juta berbanding RM1.1 juta.

 

OIB berkata, prestasi yang lebih baik pada suku keempat membantu melonjakkan keuntungan bersih tahunan OIB kepada RM122.75 juta bagi tahun kewangan 2025, meningkat 44% berbanding RM85.21 juta tahun sebelumnya. 

 

“Hasil tahunan turut meningkat 30.4% kepada RM850.55 juta daripada RM652.47 juta.

 

“Kumpulan kekal berada pada kedudukan kukuh untuk meneruskan pertumbuhan, disokong oleh jualan hartanah belum dibil berjumlah kira-kira RM498.01 juta.

 

“Dengan tempahan yang sihat dan asas pasaran yang kukuh, kumpulan optimis dapat mencatat satu lagi tahun prestasi positif pada tahun kewangan 2026,” kata OIB. - DagangNews.com