KUALA LUMPUR 15 Mei – Keyfield International Bhd mencatat keuntungan bersih yang melonjak lebih dua kali ganda pada suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1Q2026).
Namun prestasi itu sebahagian besarnya disokong oleh keuntungan sekali sahaja (one-off gain) daripada pelupusan aset kapal ketika operasi teras kumpulan terus mencatat kerugian.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata Kumpulan merekodkan keuntungan bersih RM56.13 juta, meningkat daripada RM20.68 juta pada tempoh sama tahun lalu, dipacu oleh keuntungan RM78 juta hasil pelupusan kapal kerja penginapan (AWB).
Bagaimanapun, dari sudut operasi, Keyfield mencatat kerugian kasar RM16.03 juta berbanding keuntungan kasar RM34.8 juta pada tahun sebelumnya, menunjukkan tekanan berterusan terhadap perniagaan penyewaan kapal luar pesisir.
Penurunan prestasi operasi itu berpunca daripada kadar penggunaan armada yang lebih rendah serta peningkatan kos operasi ketika tempoh kapal tidak disewa.
Syarikat masih perlu menanggung kos tetap termasuk kru, bahan api, pelabuhan, penyelenggaraan, susut nilai dan kerja-kerja ‘dry-docking’ walaupun kapal tidak menjana pendapatan.
Pendapatan kumpulan turut susut 45.61 peratus kepada RM47.18 juta daripada RM86.75 juta setahun sebelumnya, sejajar dengan penggunaan kapal yang lebih rendah.
Keyfield mencatat kadar penggunaan armada sebanyak 36.1 peratus atau 442 hari sewaan berbanding 50.3 peratus atau 601 hari pada suku keempat 2025 (4Q2025).
Penurunan itu turut dipengaruhi oleh beberapa kapal yang hanya kembali disewa pada April dan Mei 2026, selepas tempoh tiada sewaan pada suku pertama.
Selain itu, prestasi turut terkesan oleh kerja-kerja penempatan semula kapal ke rantau Timur Tengah termasuk dua kapal yang dihantar lebih awal sebelum memperoleh kontrak pertama di wilayah berkenaan.
Kos tambahan juga meningkat berikutan aktiviti persiapan pelayaran untuk dua kapal yang dihantar ke Timur Tengah yang menambah tekanan kepada margin operasi.
Walaupun begitu, kumpulan itu masih merekodkan dividen interim pertama sebanyak satu sen sesaham, yang akan dibayar pada 16 Jun 2026.
Dari segi operasi antarabangsa, Keyfield memaklumkan beberapa kapal yang ditempatkan di Timur Tengah kini sedang disewa dan terus menjana pendapatan, walaupun terdapat risiko geopolitik di rantau tersebut.
Kumpulan itu turut menyatakan prestasi suku pertama turut dipengaruhi faktor bermusim khususnya keadaan monsun di Malaysia serta kelewatan permulaan kontrak baharu bagi kapal AWB yang lazimnya hanya bermula pada suku kedua.
Keyfield menjangkakan prestasi akan bertambah baik bermula suku kedua 2026 (2Q2026) apabila kontrak baharu mula beroperasi dan keadaan operasi kembali normal di Malaysia serta Timur Tengah.
Dalam jangka panjang, kumpulan itu kekal optimis terhadap prospek industri sokongan minyak dan gas dipacu permintaan yang lebih kukuh menjelang 2027 hingga 2028.
Strategi syarikat turut diperkukuh melalui pelupusan aset lama dan program pembaharuan armada selain pelaburan dalam kapal baharu bagi meningkatkan daya saing.
Ketua Pegawai Eksekutif Keyfield International Bhd, Datuk Darren Kee berkata strategi pelupusan aset termasuk dua kapal AWB bukan sahaja menjana keuntungan sekali sahaja, tetapi turut menyokong kedudukan kewangan kumpulan.
Beliau berkata hasil pelupusan itu akan digunakan untuk membina tiga kapal baharu, iaitu satu DP2 AWB (Dynamic Positioning 2 accommodation workboat) dan dua kapal tunda bekalan dan pengendali sauh 90MT (AHTS) yang dijangka memperkukuh kedudukan kumpulan dalam pasaran serantau. - DagangNews.com








