Ketidaktentuan dasar EV pasca-2025 beri risiko perancangan kepada pengeluar dan pembekal, kata penganalisis  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ketidaktentuan dasar EV pasca-2025 beri risiko perancangan kepada pengeluar dan pembekal, kata penganalisis 

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 13 Jan - Struktur duti muktamad serta mekanisme sokongan jangka panjang bagi kenderaan elektrik (EV) yang masih belum jelas berpotensi meningkatkan risiko perancangan kepada pengeluar peralatan asal (OEM) dan pembekal dalam rantaian nilai automotif negara, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, keadaan itu boleh memberikan kesan terhadap rangka kerja dasar kenderaan elektrik (EV) pasca-2025 yang bertujuan mengimbangi kos pemilikan yang terkawal dengan insentif bagi pengeluaran tempatan.

 

"Satu perubahan struktur utama dijangka berlaku pada 2026 susulan tamatnya pengecualian cukai penuh bagi EV import sepenuhnya (CBU). 

 

"Selepas tempoh tersebut, semua import EV baharu akan tertakluk kepada duti import dan duti eksais standard, selain penetapan harga minimum melebihi MYR250,000 bagi jenama baharu yang ingin memasuki pasaran Malaysia," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut Maybank IB, sebagai pelengkap, kerajaan akan memperkenalkan cukai jalan EV berasaskan kuasa, yang jauh lebih rendah berbanding kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE), manakala EV CKD akan terus menikmati insentif sehingga 2027 bagi menggalakkan pelokalan.

 

Katanya, perubahan dasar ini dilihat sebagai langkah kerajaan untuk menstruktur semula pasaran EV agar lebih mampan, di samping mengelakkan persaingan harga yang agresif daripada model import kos rendah yang boleh menjejaskan pembangunan industri tempatan.

 

Sementara itu Maybank IB mengunjurkan Jumlah Volum Industri (TIV) bagi sektor automotif Malaysia dijangka mencecah 790,000 unit pada 2026, mendatar berbanding unjuran 2025.

 

Katanya, situasi itu mencerminkan persekitaran operasi yang semakin mencabar susulan perubahan struktur, persaingan lebih sengit serta ketidaktentuan dasar.

 

Maybank IB mengekalkan pendirian NEUTRAL terhadap sektor ini, dengan mengambil kira keperluan industri untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan dasar, termasuk peralihan insentif kenderaan elektrik (EV) serta landskap persaingan yang kian kompetitif. 

 

Setakat 11 bulan 2025 (11M25), TIV direkodkan pada 728,000 unit, sejajar dengan jangkaan pasaran.

 

Menurut firma itu lagi, pada 2026 sektor automotif dijangka berdepan tekanan sentimen apabila pemain industri perlu mengimbangi faktor kos, strategi harga serta permintaan pengguna dalam persekitaran dasar yang berubah. 

 

"Keadaan ini boleh menjejaskan momentum pertumbuhan, walaupun permintaan asas kekal stabil," katanya.

 

Dari segi saham, Maybank IB mengekalkan saranan BELI ke atas Bermaz Auto Bhd (BAuto), disokong oleh penilaian yang menarik serta keterlihatan pemulihan pendapatan yang lebih jelas. 

 

Selain itu, saham tersebut turut menawarkan daya tarikan daripada segi pulangan kepada pemegang saham, dengan hasil dividen diunjurkan melebihi 6%. - DagangNews.com