Ketegangan di Timur Tengah tidak gugat ekonomi Malaysia, KDNK 2026 diunjur mampu mencecah 4.8% — CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ketegangan di Timur Tengah tidak gugat ekonomi Malaysia, KDNK 2026 diunjur mampu mencecah 4.8% — CGSI

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 1 April — Ketidaktentuan global susulan konflik Timur Tengah yang mencetuskan krisis minyak tidak menggugat asas ekonomi Malaysia, kata CGS International (CGSI) dalam analisisnya.


Menurut firma penyelidikan tersebut, pertumbuhan negara ini masih kukuh dipacu permintaan domestik dan eksport teknologi, dengan menyifatkan prospek ekonomi 2026 sebagai 'optimis berhati-hati'.


Katanya, penilaian secara sederhana berkenaan susulan unjuran terkini Bank Negara Malaysia (BNM) yang menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mampu mencecah antara 4.0% hingga 5.0%.


"Julat ini lebih luas berbanding unjuran Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) pada 4.0% hingga 4.5% yang diumumkan dalam Belanjawan 2026, dan mencerminkan momentum ekonomi lebih baik," tambah CGSI.


Walaupun berdepan risiko geopolitik, firma itu mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia pada 4.8% bagi tahun ini, disokong ruang fiskal yang lebih selesa serta trend momentum eksport kukuh.


Jelasnya, situasi global meskipun masih kekal tidak menentu, mesej utama adalah terang, iaitu faktor permintaan domestik terus menjadi tonggak utama kepada pertumbuhan ekonomi negara ini.

 

ekonomi eksport_DagangNews


Ujar CGSI, BNM menjangka perbelanjaan isi rumah kekal stabil didorong keadaan pasaran buruh yang kukuh serta pelarasan gaji penjawat awam fasa kedua, manakala aktiviti pelaburan terus positif.


"Kami mendapati, kegiatan ini disokong pelaksanaan projek yang diluluskan dan pengembangan sektor teknologi, manakala dari sudut luaran, eksport Malaysia dijangka mendapat manfaat luas," katanya.


Keadaan tersebut jelasnya, susulan permintaan global yang berterusan terhadap semikonduktor dan teknologi kecerdasan buatan (AI), walaupun segmen sektor minyak dan gas (O&G) berdepan cabaran.


Selain itu tambah CGSI, pengukuhan nilai ringgit dan pembaharuan dasar domestik dijangka membantu bagi mengekang tekanan kos import, sekali gus menyokong kestabilan harga produk untuk dieksport.


"Kami berpandangan dasar monetari akan kekal dengan tiada perubahan kepada Kadar Dasar Semalaman (OPR), namun menegaskan pemantauan rapi terhadap risiko inflasi tarikan permintaan," ujarnya.


Malaysia katanya, berpotensi mengharungi krisis ini dengan lebih baik daripada jangkaan pasaran, meskipun konflik berpanjangan, berikutan asas makroekonomi yang kukuh dan daya tahan eksport.


Bagaimanapun, firma itu mengakui unjuran semasa masih bergantung kepada perkembangan konflik global yang dinamik, khususnya kesannya terhadap harga minyak dan aliran perdagangan dunia. - DagangNews.com