KUALA LUMPUR 3 April — Ketegangan geopolitik di rantau Timur Tengah kini mula menjejaskan rantaian bekalan pembungkusan bagi sektor barangan pengguna runcit pantas (FMCG), menurut CIMB Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan itu disebabkan risiko kekurangan bahan mentah dan peningkatan kos yang semakin ketara akibat halangan perjalanan kapal-kapal di Selat Hormuz.
Gangguan stok itu ujarnya, sudah mula dirasai banyak syarikat antaranya Farm Fresh Berhad apabila bekalan resin jenis high-density polyethylene (HDPE) terjejas teruk sejak 10 hingga 14 hari lalu.
"Situasi ini sekali gus menjejaskan pengeluaran botol plastik bersaiz satu dan dua liter yang menyumbang sekitar 12% hingga 13% daripada jualan kumpulan," kata CIMB Securities dalam notanya.
Bagi mengurangkan impak, Farm Fresh beralih kepada penggunaan kotak kertas jenis gable-top, yang ketika ini menyumbang kira-kira 9% daripada keseluruhan jualan dan masih ada kapasiti lebihan.
Langkah itu jelasnya, sebagai usaha menampung kekurangan pengeluaran botol plastik, dan meskipun bekalan pembungkusan berasaskan kertas cukup, syarikat masih berdepan tekanan kos yang sederhana.
Ujar CIMB Securities, kesan langsung konflik turut dilihat kepada peningkatan kos pembungkusan, khususnya HDPE, selain kos logistik berkaitan diesel dan kemungkinan kenaikan tarif elektrik.

"Secara keseluruhan, faktor-faktor ini dianggarkan berupaya untuk menjejaskan margin sekitar 8% hingga 10% daripada asas kos Farm Fresh sendiri," tambah analisis firma penyelidikan berkenaan.
Lebih dibimbangi, jika konflik berlarutan, risiko gelombang kedua boleh berlaku termasuk kenaikan harga bahan tenusu, baja dan dedak ternakan, serta tekanan ke atas kos logistik dan pembungkusan.
Justeru, CIMB Securities menurunkan unjuran keuntungan bersih Farm Fresh bagi FY26 kepada 2.7%, mengambil kira kos bahan mentah lebih tinggi serta jangkaan volum jualan yang mula sederhana.
Harga sasaran (TP) sesaham syarikat tersebut turut disemak turun kepada RM2.65 daripada RM3.00 sebelum ini, berdasarkan penilaian 28 kali nisbah harga kepada pendapatan (PE) bagi unjuran 2027.
"Walaupun berdepan cabaran jangka pendek, segmen tenusu dijangka kekal berdaya tahan berikutan sifatnya sebagai barangan keperluan asas, dengan permintaan stabil sehingga akhir FY26," katanya.
Bagaimanapun, CIMB Securities memberi amaran risiko penurunan kekal sekiranya tekanan inflasi meningkat dan pengguna mengurangkan perbelanjaan terhadap produk bernilai tambah seperti ais krim.
Ia mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Farm Fresh, disokong kedudukan kukuh syarikat itu dalam pasaran tenusu Malaysia, pengembangan serantau serta portfolio produk yang lebih pelbagai.
Selain itu, saham syarikat kini didagangkan pada diskaun 11.4% berbanding purata sejarah tiga tahun, menjadikannya peluang kemasukan yang menarik bagi pelabur. - DagangNews.com








