KUALA LUMPUR 31 Mac - Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) menegaskan keselamatan tenaga akan terus menjadi keutamaan ketika sistem tenaga global berdepan tekanan yang semakin meningkat susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, sekiranya konflik di rantau itu berlarutan ke tahap paling buruk, banyak negara bakal merasai kesan langsung daripada kekurangan keselamatan tenaga.
“Di ASEAN yang mempunyai kira-kira 700 juta penduduk, kita telah melihat Filipina mengisytiharkan darurat, Thailand memberi isyarat bahawa dana bahan apinya sukar menampung kenaikan harga, manakala Vietnam mula mengenakan sekatan perjalanan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Offshore Technology Conference Asia 2026 di sini hari ini.
Menurutnya, di Malaysia, walaupun subsidi bahan api masih dikekalkan, kerajaan telah membuat pelarasan sementara terhadap kuota Budi95 kepada 200 liter berbanding 300 liter sebulan sebelum ini.
Tambah beliau, beberapa kerajaan di Asia turut kembali menggunakan arang batu bagi menampung kekurangan bekalan gas asli cecair (LNG), sekali gus mencerminkan tekanan terhadap sistem tenaga semasa.
Mengulas lanjut, Tengku Muhammad Taufik berkata gangguan di laluan strategik seperti Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira 20 juta tong minyak sehari — hampir satu perlima penggunaan global — boleh mencetuskan kesan rantaian merentasi pelbagai industri.
“Gangguan ini bukan sahaja menjejaskan bekalan tenaga, malah memberi impak kepada industri lain seperti baja dan petrokimia, seterusnya memberi kesan kepada pengguna akhir,” katanya.
Beliau turut memberi amaran peningkatan kos serta permintaan yang lemah boleh mendorong ekonomi global ke arah stagflasi, khususnya jika aliran hidrokarbon terganggu secara ketara.
“Walaupun terdapat desakan untuk mempercepatkan peralihan tenaga, realitinya hidrokarbon masih memainkan peranan utama. Minyak dan gas menyumbang sekitar 80% bekalan tenaga global,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata PETRONAS terus bekerjasama dengan industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas tempatan (OGSE) bagi memperkukuh keupayaan sektor tersebut melalui pelan hala tuju aktiviti syarikat.
“Pemain OGSE tempatan perlu segera berubah untuk menjadi lebih berdaya saing dan berkeupayaan dalam industri yang semakin mencabar,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa usaha mencapai keutamaan lain, termasuk peralihan tenaga, tidak boleh dilakukan dengan mengorbankan keselamatan tenaga, yang kekal sebagai asas kestabilan ekonomi global. - BERNAMA








