KUALA LUMPUR 23 Jan – Kemenangan badan pemantau alam sekitar, RimbaWatch, terhadap dua kementerian Malaysia berhubung dakwaan tuntutan “hijau” Shell Malaysia berpotensi menjadikan penarafan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) boleh dikuatkuasakan dari sudut undang-undang.
Menurut MBSB Research, perkembangan itu termasuk kemungkinan pengenaan penalti terhadap dakwaan mengelirukan berkaitan ESG.
Firma penyelidikan itu berkata, RimbaWatch telah memfailkan semakan kehakiman terhadap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, berhubung kegagalan kedua-dua kementerian bertindak terhadap dakwaan Shell Malaysia yang didakwa mengelirukan melalui tuntutan neutral karbon dan mesra alam.
Tambah firma penyelidikan itu, RimbaWatch berhujah bahawa kerajaan Malaysia gagal memenuhi piawaian perlindungan iklim antarabangsa di bawah Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai Perubahan Iklim, manakala kedua-dua kementerian pula menyatakan isu berkenaan berada di luar bidang kuasa mereka.
Kes yang kini dibicarakan di Mahkamah Tinggi itu memfokuskan sama ada kegagalan bertindak oleh kementerian terbabit merupakan pengabaian tanggungjawab undang-undang, selain menilai sama ada amalan greenwashing melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.
“RimbaWatch memohon mahkamah mengarahkan kerajaan menyiasat amalan penyamaran hijau, membatalkan penolakan terdahulu serta mengesahkan kewajipan statutori, yang berpotensi membawa kepada pengenalan Garis Panduan Tuntutan Hijau secara rasmi, seiring amalan di Singapura dan United Kingdom,” katanya dalam laporan tematik ESG bertajuk ‘Membanteras penyamaran hijau melalui piawaian pelaporan baharu’ yang diterbitkan pada Jumaat.
Di peringkat global, MBSB Research berkata, kes penyamaran hijau semakin meningkat dan hampir berganda dalam tempoh lima tahun lalu, daripada 20% insiden ESG berkaitan iklim pada 2021 kepada 25% pada 2025.
Asia menyumbang sekitar 20% hingga 25% daripada kes berkenaan, dengan sektor minyak dan gas, perbankan serta makanan dan minuman dikenal pasti sebagai pesalah utama.
Di Malaysia, peraturan berkaitan penyamaran hijau menjadi mandatori antara 2024 hingga awal 2026, apabila kerajaan dan pengawal selia kewangan mewajibkan semua tuntutan hijau disokong oleh data yang diaudit, bukan sekadar bahan pemasaran.
Langkah ini selari dengan pelaksanaan Cukai Karbon pada 2026, yang bertujuan meningkatkan ketepatan pelaporan dan mencegah pengelakan cukai.
Menurut MBSB Research, kes RimbaWatch ini menandakan peralihan bersejarah apabila tuntutan ESG di Malaysia berpotensi menjadi boleh dikuatkuasakan secara undang-undang.
Syarikat yang gagal menyokong tuntutan mereka dengan bukti berdepan risiko penalti pengawalseliaan, kerosakan reputasi serta akses modal yang terhad.
Sebaliknya, firma itu berkata, syarikat yang benar-benar mempunyai amalan ESG kukuh dijangka meraih manfaat, termasuk penilaian lebih tinggi dan kos pembiayaan lebih rendah.
“MBSB Research menjangkakan syarikat seperti Tenaga Nasional Bhd dan Gamuda Bhd berada dalam kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada perubahan peraturan ini, memandangkan kedua-duanya sudah mempunyai program kelestarian berasaskan sains dan diaudit,” katanya.
Firma itu menetapkan harga sasaran RM16.40 bagi Tenaga, didorong oleh integrasi kelestarian dalam operasi teras serta pelan peralihan yang kredibel dan diaudit di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.
Bagi Gamuda, harga sasaran ditetapkan pada RM6.35, disokong oleh sasaran perancangan bandar berasaskan sains serta data ESG yang boleh disahkan, sekali gus menjadikannya menarik untuk pembiayaan kerajaan dan antarabangsa. - DagangNews.com








