KUALA LUMPUR 31 Mac – Kementerian Perladangan dan Komoditi mahu lebih ramai pemain industri akan melabur dalam inovasi dan teknologi hijau demi kelestarian ekonomi dan alam sekitar generasi akan datang.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata inisiatif berterusan pihak industri seperti SD Guthrie Berhad dalam memperkasakan fasiliti pengeluaran biodiesel adalah satu langkah progresif yang patut dipuji.
“Kolaborasi erat antara pemain industri dan kerangka dasar kerajaan adalah kunci utama untuk merealisasikan aspirasi Malaysia mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.
“Kementerian berharap agar lawatan ini akan membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik pada masa hadapan,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja rasmi ke loji pengeluaran biodiesel milik SD Guthrie di Pulau Carey bagi meninjau kapasiti dan teknologi pemprosesan loji berkenaan.
Loji tersebut memainkan peranan penting dalam menukar minyak sawit mentah kepada biodiesel, bahan api alternatif yang lebih bersih dan selari dengan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).


Pengeluaran biodiesel ini juga sejajar dengan Dasar Biobahan Api Negara dan Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030, yang bertujuan memperkukuh nilai tambah sektor agrikomoditi, khususnya kelapa sawit, serta mengoptimumkan penggunaan biojisim dan produk hiliran.
Kapasiti pengeluaran fasiliti berskala besar seperti SD Guthrie adalah kritikal untuk memastikan bekalan biodiesel mencukupi, terutamanya bagi menyokong penggunaan B20 dalam sektor pengangkutan dan industri.
SD Guthrie Berhad merupakan salah satu pengeluar biodiesel berasaskan sawit utama di negara ini, menggunakan teknologi moden yang meningkatkan kecekapan pengeluaran dan memenuhi standard antarabangsa.
Penghasilan biodiesel daripada minyak sawit mentah bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, tetapi juga menyokong agenda kerajaan dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui.
Lawatan ini dijangka membuka lebih banyak ruang untuk kerjasama strategik antara kerajaan dan industri pada masa hadapan.
Inisiatif ini mencerminkan usaha bersepadu antara sektor awam dan swasta dalam memperkukuh tenaga boleh diperbaharui di Malaysia serta membangunkan teknologi hijau yang inovatif demi masa depan lebih lestari. - DagangNews.com








