KUALA LUMPUR 23 Okt – Kerjasama dengan Perak Transit Berhad hanya berkaitan projek di negeri itu tanpa melibatkan sebarang pemilikan atau urus niaga saham yang lain, kata Cape EMS.
Penjelasan itu dibuat susulan kejatuhan mendadak harga saham Perak Transit pada 22 Oktober 2025, iaitu sebanyak 47.2% (0.34 sen), paras terendah dalam tempoh lebih tiga tahun.
Cape EMS bekerjasama dengan Perak Transit dalam pembangunan sistem hentian bas pintar dan hab kenderaan elektrik di Ipoh.
“Projek ini selaras dengan matlamat Malaysia untuk mobiliti mampan dan peralihan kepada tenaga bersih.
“Penurunan harga saham Perak Transit tidak menjejaskan kedudukan kewangan, operasi, atau keupayaan syarikat untuk melaksanakan projek berkenaan.
“Syarikat juga tidak memiliki sebarang saham atau kepentingan kewangan dalam Perak Transit dan tidak pernah terlibat dalam sebarang urus niaga saham syarikat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam projek tersebut, Cape EMS bertanggungjawab terhadap kejuruteraan, reka bentuk, pemasangan, ujian dan pentauliahan sistem dan infrastruktur di bawah skop kerja mereka.
Syarikat menjalankan tanggungjawab ini secara bebas dari segi kewangan dan operasi, disokong oleh kedudukan kewangan yang kukuh dan aliran tunai mampan.
Ketua Pegawai Eksekutif Cape EMS, Christina Tee Kim Chin berkata, kerjasama dengan Perak Transit adalah berdasarkan projek dan bukannya pelaburan atau pengurusan ekuiti.
“Turun naik harga saham Perak Transit tidak memberi kesan kepada operasi, kewangan, atau tanggungjawab Cape EMS,” katanya.
Projek berkenaan juga selari dengan strategi Cape EMS untuk memperluas ke dalam sektor tenaga boleh baharu, infrastruktur pintar dan sistem penyimpanan tenaga (BESS) sebagai sebahagian daripada strategi mempelbagaikan sumber pendapatan syarikat.
Cape EMS turut mendapat dorongan daripada dasar kerajaan di bawah Belanjawan 2026, termasuk Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS 5.0) dengan RM1 bilion, jaminan kerajaan sehingga 80% bagi projek sektor sisa dan 60% bagi sektor hijau lain seperti tenaga, air, pengangkutan dan pembuatan.
Belanjawan 2026 juga menyokong Pelan Transformasi Tenaga Negara (NETR) dengan peruntukan bagi projek solar berskala besar (LSS 6) hampir 2GW, Skim Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) dengan pelaburan dijangka RM3.5 bilion, serta kuota tambahan 300MW di bawah program Feed-in Tariff.
Cape EMS menegaskan komitmen berterusan mereka untuk menyumbang kepada agenda rendah karbon Malaysia serta memastikan projek dijalankan mengikut jadual dan piawaian tinggi.
Syarikat yakin keupayaan mereka untuk terus memberikan nilai jangka panjang kepada pelanggan, rakan kongsi, dan pemegang saham, sambil memperkukuh penglibatan dalam sektor tenaga boleh baharu dan infrastruktur pintar.
Beliau berkata, projek itu dilaksanakan secara profesional dan bebas daripada sebarang spekulasi pasaran saham, memastikan kepercayaan semua pihak terpelihara.
“Projek di Perak akan diteruskan seperti dirancang tanpa sebarang gangguan, dengan semua aktiviti kejuruteraan dan pemasangan berjalan lancar.
“Pelaksanaan projek ini sejajar dengan komitmen kami terhadap pembangunan mampan dan agenda hijau negara, sekaligus memberi manfaat kepada komuniti dan ekonomi tempatan,” katanya. - DagangNews.com








