Kerja penyelenggaraan dijangka beri kesan prospek pendapatan Swift Haulage, namun MBSB Research kekal saranan 'Beli' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerja penyelenggaraan dijangka beri kesan prospek pendapatan Swift Haulage, namun MBSB Research kekal saranan 'Beli'

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 15 Mei - Prospek pendapatan jangka pendek Swift Haulage Berhad dilihat masih bercampur-campur apabila jumlah pengangkutan kontena dijangka sedikit perlahan susulan kerja penyelenggaraan barisan pengeluaran oleh pelanggan utama syarikat.

 

MBSB Research berkata, bagaimanapun, margin operasi kumpulan dijangka terus disokong oleh semakan kadar caj yang dilaksanakan baru-baru ini.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'Beli' terhadap saham Swift Haulage dengan menaikkan harga sasaran kepada 37 sen daripada 35 sen sebelum ini selepas mengambil kira pelarasan tahun asas penilaian kepada FY27F berdasarkan gandaan 11 kali EPS FY27F.

 

Menurutnya, penilaian saham syarikat ketika ini dilihat kurang menarik apabila diniagakan pada paras +2.0 sisihan piawai berbanding purata sejarah lima tahun sektor.

 

“Prestasi teras 1QFY26 adalah sejajar dengan jangkaan kami dan konsensus, dengan keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) berjumlah RM7.3 juta, masing-masing mewakili 26% dan 24% daripada unjuran penuh tahun kewangan.

 

“Tiada dividen interim diumumkan bagi suku tersebut,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Dari segi operasi, hasil keseluruhan meningkat tipis 0.2% tahun ke tahun disokong pertumbuhan dalam kebanyakan segmen, walaupun sebahagiannya diimbangi prestasi lebih lemah dalam segmen pergudangan dan depot.

 

Hasil segmen itu merosot 15% tahun ke tahun manakala EBIT susut 12.1%.

 

Segmen pengangkutan kontena pula mencatat peningkatan hasil sebanyak 4.6% tahun ke tahun dengan EBIT melonjak 27.4%, didorong sebahagiannya oleh pelarasan kadar caj.

 

Bagi segmen pengangkutan darat, hasil meningkat kecil sebanyak 0.7% tahun ke tahun, namun EBIT merosot 21.9% akibat campuran perkhidmatan yang lebih tertumpu kepada penggunaan lori bersaiz kecil.

 

Sementara itu, segmen penghantaran fret terus menjadi penyumbang utama pendapatan kumpulan apabila hasil meningkat 6.4% tahun ke tahun dan EBIT naik 9% hasil aliran projek yang kukuh.

 

Secara keseluruhan, PATAMI teras meningkat marginal sebanyak 0.2% tahun ke tahun dengan margin kekal stabil.

 

Berdasarkan perbandingan suku ke suku, hasil kumpulan susut 2% berikutan faktor bermusim dengan hampir semua segmen merekodkan prestasi lebih rendah kecuali pengangkutan darat yang berkembang 5.5%.

 

Hasil pengangkutan kontena turun 1% suku ke suku susulan jumlah lebih rendah, manakala EBIT merosot 13.3%.

 

Dalam masa sama, segmen pergudangan dan depot mencatat penurunan hasil sebanyak 13.7% suku ke suku, namun margin EBIT bertambah baik sebanyak 3 mata peratusan.

 

PATAMI teras bagi suku semasa susut 9.4% berbanding suku sebelumnya disebabkan penguncupan margin yang dipengaruhi kadar cukai efektif lebih tinggi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, tiada perubahan dibuat terhadap unjuran pendapatan kumpulan buat masa ini. - DagangNews.com