KUALA LUMPUR 3 Nov – Kerajaan akan meneliti pelaksanaan subsidi bersasar bagi barangan keperluan lain seperti gula, minyak masak dan beras secara berperingkat, kata Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.
Beliau berkata langkah itu bertujuan memastikan tiada ketirisan berlaku serta menjamin bahawa subsidi hanya dinikmati oleh golongan yang benar-benar memerlukan seperti pelaksanaan BUDI95.
“Buat masa ini keutamaan kerajaan adalah memastikan kelancaran pelaksanaan Budi95 sebagai asas kepada penstrukturan subsidi secara menyeluruh.
“Bagi memastikan subsidi barangan seperti beras, gula dan minyak masak ini sampai kepada golongan sasar, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah antaranya meningkatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu seperti Ops Tiris dan Kita Gempur untuk membanteras manipulasi dan ketirisan,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Syerleena Abdul Rashid (PH–Bukit Bendera) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan melaksanakan subsidi bersasar untuk barangan keperluan tersebut di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Lim, stok barangan asas seperti gula, beras dan minyak masak sentiasa mencukupi untuk setiap penganjuran Jualan Rahmah MADANI yang membantu golongan berpendapatan rendah.
“Bagi 2025, program ini diperluas daripada sekurang-kurangnya dua kali sebulan bagi setiap kawasan Parlimen kepada sekurang-kurangnya dua kali sebulan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri,” tambahnya.
Beliau berkata, inisiatif itu meliputi lebih 600 kawasan DUN di seluruh negara.
“Hasilnya, barangan bersubsidi akan lebih mudah diakses, khususnya di kawasan yang mungkin tidak mempunyai bekalan mencukupi di kedai runcit biasa,” katanya. - DagangNews.com








