SHAH ALAM 26 Feb - Kerajaan Selangor mengesahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjual tanah di Broga, Hulu Langat seluas kira-kira 403.4 hektar (997 ekar) kepada tiga entiti termasuk Trans Loyal Development Sdn. Bhd. yang menawarkan harga RM224.5 juta.
Daripada keluasan itu juga sebanyak kira-kira 53.4 hektar (132 ekar) diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Selangor (31.16 hektar atau 77 ekar) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) (22.6 hektar atau 55 ekar).
Tanah seluas 363 hektar (897 ekar) diserahkan kepada Trans Loyal yang menawarkan harga RM9.57 bagi sekaki persegi iaitu lebih tinggi berbanding RM9.29 sekaki persegi ditetapkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, justeru keluasan tanah boleh dibangunkan yang diperoleh Trans Loyal adalah kira-kira 217.72 hektar (538 ekar) bersamaan dengan 23,435,280 kaki persegi.
“JPPH menetapkan, harga perkaki persegi adalah RM9.29.
"Atas sebab itu, untuk lebih adil saya maklumkan saya sendiri membangkitkan persoalan itu ketika ia dikemukakan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelaburan dan Kewangan yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim (bersara),” katanya ketika berucap pada penggulungan perbahasan menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15, hari ini.
Amirudin berkata, penjualan mengikut keluasan tersebut lebih menguntungkan berbanding ia dipecahkan kepada lot-lot lebih kecil.
Penjelasan Menteri Besar itu adalah sebagai menjawab dakwaan Ketua Pembangkang Selangor Mohamed Azmin Ali bahawa PKNS berdepan kerugian besar selepas menjual plot tanah Broga di Semenyih pada harga jauh lebih rendah daripada nilai pasaran semasa.
Azmin yang juga bekas menteri besar itu mendedahkan kerugian yang ditanggung dianggarkan antara RM95 juta hingga RM154 juta.
Azmin turut membentangkan laporan mesyuarat PKNS pada Februari 2024 yang menunjukkan tanah Broga seluas 997 ekar terdiri daripada tiga plot dijual pada harga jauh lebih rendah daripada nilai pasaran semasa.
Azmin mendakwa, hasil cariannya mendapati pemilik bagi ketiga-tiga tanah plot itu berbeza nama syarikat tetapi terdiri daripada pemegang saham dan lembaga pengarah yang sama.
Mereka ialah Trans Loyal Development Sdn Bhd dan Sutera Maya Resources Sdn Bhd.
Sementara itu, PKNS dalam kenyataannya berkata, pencairan aset tanah di Bukit Broga, Semenyih kepada Sutera Maya Resources Sdn. Bhd. pada tahun 2023, adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang PKNS untuk memperkukuh perniagaan teras dan memberi tumpuan kepada projek-projek pembangunan yang lebih berimpak tinggi dan memberi manfaat kepada rakyat Selangor.
Berhubung laporan yang disiarkan baru-baru ini mengenai kedudukan tanah Broga sebagai tanah strategik, PKNS ingin menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak tepat dan tidak berasas.
Sebaliknya, tanah tersebut bukanlah aset strategik untuk pembangunan disebabkan beberapa faktor utama yang membataskan potensinya.
Pelupusan tanah Broga ini turut merangkumi tanah yang tidak boleh dimajukan, termasuk kawasan Hutan Simpan, tanah milik TNB, kawasan cerun kritikal tahap 3 dan 4, serta kolam yang membataskan potensi pembangunan.
Selain itu, tanah ini juga berdepan isu pencerobohan dan kewujudan struktur binaan haram di atas tapak. Oleh itu, adalah tidak wajar untuk menganggap tanah Broga sebagai aset strategik, memandangkan pelbagai kekangan fizikal dan perundangan yang membelenggu tanah tersebut, kata PKNS.- DagangNews.com








