Kerajaan rangka inisiatif, persiapan hadapi status 'Negara Tua' dan penduduk muda semakin berkurangan, kata Menteri Kewangan II | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan rangka inisiatif, persiapan hadapi status 'Negara Tua' dan penduduk muda semakin berkurangan, kata Menteri Kewangan II

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Malaysia dijangka berstatus negara tua menjelang 2048 apabila nisbah penduduk berusia 65 tahun ke atas mencecah 14 peratus daripada keseluruhan populasi, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

Beliau yang menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkata, unjuran tersebut berdasarkan statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) setakat Julai tahun ini.

 

Malaysia secara rasmi telah berstatus negara menua pada 2021 apabila penduduk berusia 65 tahun dan ke atas mencapai tujuh peratus daripada jumlah penduduk.

 

“Peningkatan jangka hayat dan penurunan kadar kesuburan menyebabkan bilangan penduduk muda berusia 0 hingga 14 tahun semakin berkurangan, manakala populasi warga emas terus meningkat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

 

amir hamzah

 

Beliau menjawab pertanyaan Sim Tze Tzin (PH–Bayan Baru) mengenai trend penuaan demografi negara serta persediaan kerajaan termasuk unjuran populasi, kadar kelahiran, kematian dan perkahwinan bagi tempoh 10 tahun akan datang.

 

Menurut DOSM, populasi Malaysia pada 2025 diunjurkan 34.2 juta, meningkat kepada 36.4 juta pada 2030 dan 38.3 juta menjelang 2035.

 

“Kadar kesuburan dijangka terus menurun daripada 1.67 anak bagi setiap wanita berusia 15 hingga 49 tahun pada 2025, kepada 1.66 pada 2030 dan 1.6 pada 2035. Angka ini kekal di bawah paras penggantian 2.1 sejak 2013,” katanya.

 

Amir Hamzah turut memaklumkan kadar perkahwinan kasar – iaitu bilangan perkahwinan bagi setiap 1,000 penduduk – turut mencatat penurunan daripada 6.6 pada 2022 kepada 5.7 pada 2023.

 

Perubahan trend perkahwinan ini dijangka memendekkan tempoh reproduktif dan menyumbang kepada kadar kelahiran yang semakin berkurangan.

 

Sehubungan itu, kerajaan tahun ini melancarkan Pelan Induk Penuaan Negara (National Ageing Blueprint, NAB) 2025–2045 sebagai langkah proaktif menghadapi status negara tua.

 

“NAB menggariskan dasar, rangka kerja dan pelan tindakan komprehensif merangkumi ekonomi, pekerjaan, pendidikan, perlindungan sosial, kesihatan dan penjagaan jangka panjang,” jelasnya sambil menambah tumpuan itu sedang diterjemahkan kepada strategi dan inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

 

Beliau berkata, kerajaan mengenal pasti empat strategi utama dalam RMK13 iaitu penjagaan jangka panjang, pasaran buruh dan kemahiran, fiskal dan perlindungan sosial serta simpanan persaraan.

 

Mengulas mengenai keengganan golongan muda berkahwin serta isu penurunan kadar kesuburan, Amir Hamzah menegaskan usaha membalikkan trend itu memerlukan pendekatan pelbagai dimensi serta kerjasama antara kementerian dan pihak berkepentingan.

 

“Untuk membalikkan trend kadar kelahiran memerlukan usaha yang besar… cadangan daripada kementerian berkaitan akan dipertimbangkan. Libat urus Belanjawan juga sedang berlangsung, dan saya akan meneliti perkara ini apabila tiba masanya,” katanya. - DagangNews.com