KUALA LUMPUR 8 April - Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempertahankan jumlah pembayaran pampasan susulan bantahan daripada 13 pihak yang terjejas berkenaan pengambilan tanah bagi projek Fasa 1 Pan Island Link 2A (PIL 2A) di Permatang Damar Laut.
Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, pembayaran pampasan itu dilakukan selaras dengan penilaian yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
"Individu yang terjejas mendakwa, mereka menerima pampasan yang tidak berbaloi termasuk bayaran ex-gratia.
"Secara keseluruhan, kebanyakan pemilik tanah menerima lebih RM1.5 juta setiap seorang sebagai pampasan," katanya dalam satu kenyataan.
Kon Yeow menjelaskan, selain itu, tiga individu yang tidak memiliki hak milik tanah turut diberikan bayaran ex-gratia sebanyak RM43,500 setiap seorang, walaupun bangunan mereka terletak di tanah kerajaan tanpa geran yang sah.
Beliau berkata, pampasan yang diberikan dibuat berdasarkan penilaian daripada JPPH dan bayaran ex-gratia telah disalurkan oleh pentadbir tanah daerah sejak Disember 2024.
Jumlah pampasan yang telah dibayar setakat ini adalah sebanyak RM24.27 juta.
Pada 14 Januari 2025, Kon Yeow mengadakan pertemuan dengan penduduk terjejas sebelum mereka semua dibenarkan tinggal di tapak berkenaan sehingga 28 Februari 2025.
Jelas beliau, kerajaan negeri telah pun melanjutkan tarikh akhir untuk kali kedua, dengan syarat semua penghuni perlu mengosongkan tapak itu pada bulan April 2025 bagi memudahkan kemajuan projek.
"Kerajaan negeri menggesa semua pihak mematuhi proses undang-undang di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Pengambilan Tanah 1960 dan mengosongkan tapak bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek ini," ujarnya.
Setakat ini, sebanyak 30 bantahan rasmi telah dikemukakan oleh pihak berkepentingan melibatkan 11 lot tanah.
Projek Pan Island Link 1 (PIL 1) adalah jalan raya yang menghubungkan Gurney Drive ke Jambatan Pulau Pinang kedua, sementara PIL 2A adalah jalan sambungan dari Jambatan Pulau Pinang kedua ke Silicon Island, sebuah pulau buatan yang sedang dalam proses penambakan di pesisir selatan Pulau Pinang. - DagangNews.com








