Kerajaan pertimbang subsidi pas bermusim untuk rakyat Malaysia di RTS Link - Anthony Loke | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan pertimbang subsidi pas bermusim untuk rakyat Malaysia di RTS Link - Anthony Loke

Gambar BERNAMA
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 April – Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan untuk memberi subsidi pas bermusim bagi rakyat Malaysia yang menggunakan Sistem Transit Aliran Johor Bahru-Singapura (RTS Link), kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

 

Beliau menegaskan subsidi itu sekiranya dilaksanakan kelak hanya akan diberikan kepada warganegara Malaysia dan tidak melibatkan warga asing.

 

"Apabila kita bercakap mengenai pas bermusim, ia hanya merujuk kepada rakyat Malaysia. Kita tidak akan memberi subsidi kepada warga asing.

 

“Begitu juga dengan Singapura, sekiranya mereka mahu memberi subsidi melalui pas bermusim, sudah pasti ia hanya untuk warga Singapura sahaja.

 

“Namun semua itu perlu dibincangkan dengan lebih terperinci bersama RTSO (operator perkhidmatan iaitu RTS Operations Pte Ltd) ," katanya kepada pemberita semasa lawatan tapak di stesen Bukit Chagar hari ini.

 

Menurut Loke, berdasarkan pengalaman terdahulu, sokongan atau subsidi kerajaan adalah penting untuk melaksanakan pas bermusim kepada pengguna yang terlibat.

 

“Kerajaan sedang melihat cara bagaimana bantuan ini boleh disediakan bagi rakyat Malaysia,” katanya.

 

RTSO iaitu usaha sama antara Prasarana Malaysia Bhd dan SMRT Corp Ltd Singapura, dijangka akan mengemukakan cadangan tambang RTS Link kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia (Apad) dan Land Transport Authority Singapura untuk semakan dan kelulusan pada suku ketiga tahun ini.

 

RTS Link sepanjang 4km menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru ke Woodlands North di Singapura. Sistem ini menggunakan kereta api empat gerabak yang mampu menempuh perjalanan antara stesen dalam kira-kira enam minit.

 

Kereta api ini direka untuk beroperasi pada kelajuan maksimum 80 kilometer sejam dan mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah.

 

Projek RTS Link bakal memudahkan perjalanan harian antara Johor Bahru dan Singapura, terutamanya bagi rakyat Malaysia yang bekerja atau belajar di Singapura.- DagangNews.com