KUALA LUMPUR 3 Feb - Putrajaya sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan sistem transit aliran ringan (LRT) atau rangkaian trem-bas di Johor Bahru dan daerah sekitarnya bagi mengurangkan kesesakan apabila Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS) Link dari Woodlands siap.
Projek itu juga akan meningkatkan sambungan pengangkutan awam di Johor Bahru untuk penduduk, pelancong dan pekerja.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor bagi kerja, pengangkutan dan infrastruktur, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, Malaysia merancang untuk mengundang sektor swasta mengemukakan cadangan dalam tempoh empat bulan akan datang berhubung perkara berkenaan.
"Tempoh masa yang diberikan oleh kerajaan untuk memulakan proses Permintaan untuk Cadangan (RFP) adalah pada suku kedua tahun ini," katanya seperti laporan The Straits Times.
Cadangan tersebut akan menilai kebolehlaksanaan dua projek iaitu sistem LRT dan rangkaian trem-bas tanpa pemandu yang dikenali sebagai Autonomous Rapid Transit (ART), yang beroperasi di atas trek maya merentasi jambatan.
Rangkaian tersebut dianggarkan menelan kos masing-masing sebanyak RM20 bilion dan RM7 bilion.
Mohamad Fazli berkata, projek berkenaan boleh dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta atau melibatkan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta.
"Walaupun Kerajaan Persekutuan telah bersetuju dengan cadangan mengenai sistem ART, terdapat juga kemungkinan untuk membina LRT, bergantung kepada cadangan yang dikemukakan oleh syarikat-syarikat.
"Matlamatnya adalah untuk menyiapkan projek ini dalam tempoh dua tahun agar ia selari dengan pembukaan RTS Link, yang membantu mengurangkan kesesakan di stesen Bukit Chagar," katanya.
Sekiranya laluan LRT dibina di selatan Johor, ia akan menjadi LRT ketiga Malaysia, selepas laluan Lembah Klang sekitar Kuala Lumpur dan LRT Pulau Pinang yang memulakan pembinaannya pada Januari 2025.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bulan lalu berkata, tender bagi projek LRT Johor Bahru belum dibuka.
Perancangan LRT dan ART itu dibuat sementara pihak berkuasa menantikan pembinaan sistem RTS Link yang akan menghubungkan stesen MRT Woodlands North di Singapura dengan stesen Johor Bahru di Bukit Chagar.
Perkhidmatan shuttle kereta api merentas sempadan sepanjang empat kilometer tersebut, dijangka siap pada penghujung 2026.
RTS Link akan mempunyai kapasiti 10,000 penumpang sejam dalam satu arah, dengan jangkaan jumlah penumpang sekitar 40,000 orang sehari apabila dibuka.
Stesen MRT Woodlands North juga merupakan terminal utara bagi Laluan Thomson-East Coast.
Pengasas pemikir pengangkutan, My Mobility Vision, Wan Agyl Wan Hassan berkata, mana-mana rangkaian tersebut akan menjadi sistem pengagihan yang berguna untuk RTS Link, supaya orang ramai dapat berulang alik dari rumah dan tempat kerja merentasi Johor dan Singapura.
"Jumlah penumpang harian yang besar di Bukit Chagar menimbulkan persoalan bagaimana kita dapat memastikan mereka bergerak dengan lancar ke seluruh Johor Bahru?
"Kebergantungan kepada kenderaan persendirian atau teksi boleh menyebabkan kesesakan trafik baharu, terutamanya di kawasan sekitar stesen," katanya.
Tambak Johor-Singapura merupakan antara laluan darat yang paling sibuk di dunia.
Sehingga Mac 2024, purata 430,000 hingga 450,000 orang menggunakannya setiap hari, berdasarkan data daripada Imigresen Johor.
Angka itu melebihi purata 400,000 yang direkodkan pada 2019, sebelum pandemik Covid-19. - DagangNews.com








