Kerajaan perkenalkan 4 inisiatif utama tangani inflasi perubatan, sasar pelan insurans mampu milik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan perkenalkan 4 inisiatif utama tangani inflasi perubatan, sasar pelan insurans mampu milik

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 JanJawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) mencapai persetujuan melaksanakan empat inisiatif strategik bagi menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta di Malaysia.


Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada Strategi RESET, sebagai usaha daripada pihak kerajaan untuk mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan yang lebih mampan dan mudah diakses.


Langkah tersebut turut melibatkan kolaborasi antara Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Kesihatan (KKM), Bank Negara Malaysia (BNM), serta pihak berkepentingan sektor swasta


Mesyuarat JBMKKS itu dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Putrajaya hari ini.


Antara inisiatif utama yang diumumkan ialah pelan insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) yang standard dan mampu milik untuk memberikan perlindungan wajar kepada rakyat.


"Pelan asas ini dijangka mula ditawarkan kepada orang ramai pada awal 2027," kata MOF dalam satu kenyataan. JBMKKS ditubuhkan pada 25 Jun 2025 bagi merangka inisiatif di bawah Strategi RESET.


Selain itu, kerajaan juga melaksanakan pengenalan alat baharu seperti Panduan Mudah MHIT dan Kalkulator Persediaan Insurans/Takaful bagi Kemasukan ke Hospital dan Pembedahan (HSIT) untuk membantu individu
merancang kewangan perubatan mereka.


Di samping itu, julat kos penanda aras bagi prosedur perubatan lazim di hospital swasta diterbitkan sebagai rujukan jelas kepada pengguna bagi membandingkan harga rawatan.


"Hospital swasta kini layak memohon insentif cukai bagi menubuhkan dana kebajikan untuk membiayai perkhidmatan perubatan secara amal kepada pesakit yang kurang berkemampuan," katanya.


Dzulkefly dalam kenyataan itu menyatakan bahawa Strategi RESET ini memberikan keutamaan kepada penjagaan berasaskan nilai bagi memastikan hasil kesihatan yang kukuh dan mampu milik untuk semua rakyat Malaysia.


Sementara itu, Amir Hamzah menekankan bahawa langkah ini adalah penting untuk memodenkan penyampaian penjagaan kesihatan serta memperkukuh ekosistem perlindungan individu dalam jangka masa panjang.


JBMKKS juga memaklumkan bahawa kajian Bank Dunia mengenai inflasi perubatan dijadualkan untuk penerbitan pada Februari 2026. 


Bagi tahun 2026, jawatankuasa ini akan terus fokus kepada memperkemas pelesenan model penjagaan mampu milik dan meningkatkan ketelusan bil hospital serta penggunaan Rekod Perubatan Elektronik (EMR). - DagangNews.com