KUALA LUMPUR 10 Nov - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan sentiasa memahami keluh-kesah rakyat dan berusaha menambah baik setiap kelemahan demi masa depan yang lebih baik untuk semua.
Katanya, ini termasuk dalam aspek negeri Sabah apabila Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri kekal fokus dan konsisten dalam usaha memajukan rakyat serta memperkukuh ekonomi negeri khususnya dalam menangani isu infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya.
Katanya, komitmen ini diterjemahkan melalui pelbagai projek pembangunan yang sedang dan akan terus dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat Sabah seluruhnya.
"Kita tidak sempurna, tetapi kita sentiasa mendengar suara rakyat dan memahami keluh-kesah mereka lantas berusaha menambah baik setiap kelemahan demi masa depan yang lebih baik untuk semua," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Sementara itu ketika berucap melancarkan blok baharu Hospital Tawau, Perdana Menteri mengajak rakyat berhanti bergaduh dan bersatu mengangkat kedudukan negeri itu.
Beliau turut mengingatkan rakyat supaya berhati-hati dengan sikap 'orang di atas" yang kerap berganduh sehingga merugikan rakyat.
"Yang bergegar-gegar bicaranya orang atas. Yang untung mereka. Yang gaduh kita. Yang bergaduh orang bawah. Saya nasihatkan orang bawah jangan gaduh, bersatu angkat kedudukan rakyat ini.
"Gaduh-gaduah di atas, air tidak selesai. Letrik tidak selesai. Jalan Lubang-lubang. Jadi sebab itu saya kata, kerjasama kita. Kita bagi peruntukan RM17 bilion.
"Ini Hospital Tawau. Kamu perintah dulu. Kenapa biar sampai berpuluh tahun. Sekarang kita selesaikan. Bukan sahaja kita selesaikan, kita tambah lagi 100 katil. Ini pelaksanaan kita," kata Perdana Menteri. - DagangNews.com








