Kerajaan lantik kontraktor baharu siapkan baki dua kapal peronda luar pesisir APMM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan lantik kontraktor baharu siapkan baki dua kapal peronda luar pesisir APMM

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 29 Okt — Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini sedang menyiapkan surat setuju terima (SST) bagi pelantikan kontraktor baharu untuk menyiapkan dua kapal peronda luar pesisir milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas kontraktor asal gagal menyiapkan projek berkenaan.

 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pelantikan kontraktor baharu itu telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan menerusi surat bertarikh 15 Ogos 2025.

 

“Kementerian kini sedang menyediakan surat setuju terima sebelum syarikat berkenaan memulakan kerja pembinaan kapal,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

 

 

 

 

 

 

Terdahulu Nordin Ahmad Ismail (PN–Lumut) bertanyakan soalan meminta penjelasan mengenai status projek terbengkalai tersebut.

 

Kerajaan sebelum ini dilaporkan telah menamatkan kontrak dengan THHE Destini Bhd selepas syarikat itu gagal menyiapkan tiga kapal OPV seperti yang dijadualkan.

 

Setakat ini, hanya sebuah kapal berjaya diserahkan kepada APMM pada Januari 2024, selepas mengalami kelewatan selama tiga tahun daripada jadual asal penghantaran pada tahun 2020.

 

Februari lalu, Saifuddin dilaporkan berkata penamatan itu ditandatangani pada 31 Dis 2024 dan syarikat terbabit dikenakan kadar denda dan ganti rugi ditetapkan (LAD) lebih RM12 juta atas kelewatan menyiapkan kapal OPV 2 dan OPV 3.

 

 

 

 

Media sebelum ini melaporkan kerajaan telah membelanjakan lebih RM600 juta dan menyalurkan tambahan RM152.6 juta bagi menyiapkan kapal pertama tersebut.

 

Kegagalan projek itu turut mencetuskan siasatan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada September 2022, yang meneliti kelewatan dan pelanggaran jadual pembinaan kapal. - DagangNews.com