KUALA LUMPUR 10 Sept – Kerajaan telah menyediakan satu strategi bagi memastikan tarif balas Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia tidak menjejaskan pelaburan langsung asing (FDI) serta meminimumkan sebarang impak terhadap ekonomi negara, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
MITI berkata antara langkah yang diambil melalui agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), termasuk penambahbaikan landskap infrastruktur perindustrian, memperkukuh rantaian bekalan dan ekosistem tempatan, serta meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan bagi menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara.
“Selain itu, kerajaan memberi keutamaan kepada pembangunan bakat dan tenaga kerja dalam sektor berteknologi tinggi, mempergiat aktiviti penyelidikan, serta memperkenalkan Elaun Modal Automasi bagi menggalakkan penerimaan automasi dan Industri 4.0 dalam kalangan syarikat di sektor pembuatan dan perkhidmatan.
“Inisiatif pelaburan lain termasuk pelaksanaan cukai karbon bagi sektor sukar-abis seperti besi dan keluli, insentif pelaburan semula di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, serta Elaun Cukai Pelaburan,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis kepada Dewan Negara yang disiarkan di laman web Parlimen.
MITI menjawab soalan daripada Senator Robert Lau Hui Yew mengenai impak perang dagangan dan tarif terhadap pelaburan dari AS serta langkah kerajaan dalam meminimumkan kesannya ke atas ekonomi.
Kementerian itu turut memaklumkan, ia sedang mempertingkat dan memudahkan proses pelaburan dengan menawarkan perkhidmatan fasilitasi projek dan maklumat menerusi portal MySite Selection serta Pusat Fasilitasi Pelaburan Malaysia.
Selain itu, MITI menjelaskan pihaknya terus berusaha memperluas akses pasaran bagi eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia, termasuk menarik pelaburan asing ke dalam negara dengan memperkukuh hubungan perdagangan bersama pasaran sedia ada serta memaksimumkan manfaat daripada 18 perjanjian perdagangan bebas yang dimiliki.
“MITI melalui agensi-agensinya akan terus menggandakan usaha memperkukuh perdagangan antarabangsa, khususnya FDI, sejajar dengan matlamat yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan dasar-dasarnya, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), Pelan Tindakan Perdagangan Negara, Strategi Semikonduktor Nasional, Industri 4.0 dan Strategi Pelaburan Hijau (GIS),” tambahnya. – Bernama








