Kerajaan dituntut sediakan pinjaman tanpa faedah RM5 bilion bantu PMKS tangani kenaikan harga minyak — bekas Menteri Kewangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan dituntut sediakan pinjaman tanpa faedah RM5 bilion bantu PMKS tangani kenaikan harga minyak — bekas Menteri Kewangan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 31 Mac — Seorang wakil rakyat, Lim Guan Eng menggesa kerajaan menyediakan dana RM5 bilion bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui pinjaman tanpa faedah.


Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, peruntukan tersebut wajar ditawarkan bagi membantu golongan berkenaan menangani tekanan harga minyak yang semakin memuncak akibat kesan konflik geopolitik global semasa.


Tambahnya, bantuan tersebut boleh melibatkan pembiayaan sehingga RM50,000 kepada 100,000 peniaga, selain disertai geran dan subsidi bersasar bagi memastikan kelangsungan operasi perniagaan itu.


"Peningkatan kos logistik, ketidaktentuan harga bahan mentah dan gangguan rantaian bekalan susulan konflik di Timur Tengah menjejaskan kedudukan kewangan PMKS secara signifikan," kata Guan Eng.


Bekas Menteri Kewangan itu dalam kenyataan menambah, ancaman kenaikan harga minyak mentah global sekiranya Selat Hormuz ditutup dikhautiri memberi kesan besar kepada kos operasi perniagaan.


Beliau turut merujuk amaran pihak industri mengenai pertumbuhan ekonomi 2026 boleh jatuh kepada 3.8% hingga 4.2% jika konflik berlarutan, kurang daripada unjuran 5% oleh Bank Negara Malaysia (BNM).


Dalam pada itu, Guan Eng mencadangkan tiga langkah segera bagi menyokong PMKS, termasuk moratorium pembayaran faedah pinjaman bank sehingga akhir tahun ini, serta penangguhan kenaikan cukai.


"Turut disyorkan ialah penundaan pelaksanaan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), e-invois serta caruman tambahan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing," tambah beliau.


Walaupun nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) kekal rendah pada 1.4% setakat Januari 2026, beberapa bank ujarnya, memberi amaran yang tekanan kewangan dalam kalangan peminjam dijangka meningkat.


Sehubungan itu, beliau menegaskan campur tangan segera kerajaan amat diperlukan bagi mengelakkan lebih banyak PKS berdepan risiko kegagalan operasi dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com