KUALA LUMPUR 4 Nov – Kerajaan disaran agar menubuhkan Majlis Keselamatan Digital Kanak-Kanak (MKDKK) untuk menilai risiko platform digital secara berkala dan menyelaraskan standard keselamatan aplikasi mesra kanak-kanak.
Majlis itu juga bertanggungjawab menjalankan kempen nasional mengenai keselamatan siber keluarga serta membangunkan indeks keselamatan digital kanak-kanak Malaysia sebagai penanda aras dasar awam.
Ahli Dewan Negara, Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, majlis tersebut boleh diselaraskan bersama Kementerian Komunikasi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Pendidikan.
“Langkah jangka panjang ini lebih mampan daripada pengharaman sementara semata-mata. Ia juga menunjukkan kesungguhan negara dalam menyeimbangkan keselamatan sosial dan pembangunan ekonomi digital.
“Insiden di Batu Pahat seharusnya menjadi amaran penting kepada semua pihak bahawa dunia digital tidak bebas daripada risiko sebenar.
“Tindakan kerajaan perlu berpaksikan kepada pendidikan, pengawalan berhemah, dan kerjasama pelbagai pihak, bukan hanya sekadar larangan.
“Saya yakin dengan pendekatan menyeluruh dan berpandangan jauh, Malaysia mampu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja celik digital, tetapi juga matang dari segi emosi, nilai dan tanggungjawab sosial,” katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini, negara digemparkan dengan insiden tikaman seorang kanak-kanak berusia enam tahun di Batu Pahat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan permainan dalam talian popular, Roblox.
Kes tersebut yang dipercayai dilakukan abang mangsa berusia sembilan tahun masih dalam siasatan pihak polis.
Mengulas lanjut, Wan Martina berkata, walaupun permainan dalam talian mempunyai manfaat dari segi kreativiti, pembelajaran interaktif dan kerjasama digital namun, risiko penyalahgunaan, ketagihan serta pendedahan kepada kandungan tidak sesuai semakin meningkat, menjadikan keselamatan digital kanak-kanak sebagai satu isu yang semakin mendesak.
Beliau juga menyokong inisiatif kerajaan seperti yang diutarakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Nancy Shukri termasuk kemungkinan pengharaman sementara atau pengawalan lebih ketat terhadap Roblox serta permainan serupa yang boleh menjejaskan keselamatan kanak-kanak.
“Namun beberapa langkah yang perlu dipertimbangkan kerajaan termasuk pelaksanaan penarafan umur dan pelesenan permainan dalam talian di bawah undang-undang komunikasi.
“Selain itu, menguatkuasakan mod “kanak-kanak” (child mode) yang mengehadkan interaksi sosial serta transaksi mikro dalam aplikasi serta pendidikan literasi digital untuk ibu bapa dan guru agar mampu memantau aktiviti anak-anak secara lebih berkesan.
“Kerajaan juga perlu bekerjasama dengan pengendali platform antarabangsa bagi memastikan kandungan dan interaksi pengguna Malaysia mematuhi piawaian keselamatan global,” katanya. - DagangNews.com








