Kerajaan bersedia kurangkan insentif gula kepada MSM, CSR - Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan bersedia kurangkan insentif gula kepada MSM, CSR - Parlimen diberitahu

Gambar hiasan
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Feb – Kerajaan bersedia mengurangkan insentif kewangan kepada pengeluar gula domestik namun menegaskan ia tidak dilakukan secara drastik untuk memastikan harga barang kawalan kekal stabil bagi pengguna.

 


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata insentif yang diperkenalkan sejak November 2023 itu kini sedang disemak semula kerana pemberiannya selama ini hanya lah bersifat sementara.

 

“Penilaian ini dilakukan bersama Kementerian Kewangan yang dibuat secara berhati-hati bagi mengelakkan tekanan inflasi yang mendadak ke atas pengguna.

 

“Sebagai langkah awal, kerajaan akan menurunkan insentif untuk pengeluar gula dan pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam masa terdekat ini,” katanya ketika menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) di Dewan Rakyat hari ini.

 

Pemberian insentif itu hanya melibatkan gula yang dijual dalam pek 1kg dan 2kg untuk kegunaan isi rumah.

 

Industri gula Malaysia kini dikuasai oleh dua pemain utama, MSM Malaysia Holdings Bhd dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR), yang dikawal oleh usahawan terkenal Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

 

Kedua-dua syarikat menerima subsidi bulanan berjumlah RM42 juta sejak akhir 2023 bagi memastikan bekalan gula domestik mencukupi.

 

MSM menghasilkan sekitar 24,000 tan gula standard sebulan dan menerima RM24 juta dalam bentuk insentif, manakala CSR menerima RM18 juta untuk pengeluaran 18,000 tan sebulan. 

 

Insentif ini hanya terpakai untuk gula pengguna rumah dan tidak meliputi industri makanan dan minuman berskala besar.

 

Tambahnya, kadar insentif akan disemak secara berkala bagi memastikan penggunaan dana awam adalah efisien dan penilaian ini juga mengambil kira turun naik harga gula mentah global, logistik penghantaran, perubahan harga minyak dan dasar ethanol di negara pengeluar utama seperti Brazil dan India.

 

Armizan menegaskan bahawa kerajaan komited untuk memastikan keseimbangan antara kepentingan pengguna dan pengeluar. 

 

Dalam jangka panjang, kerajaan berharap penstrukturan semula insentif ini dapat meningkatkan daya tahan industri gula tempatan terhadap perubahan pasaran global.

 

Langkah ini juga dilihat sebagai usaha untuk memperkemas perbelanjaan fiskal negara tanpa menjejaskan bekalan asas rakyat.

 

Selain itu, pengurangan insentif dijangka memberi pengeluar peluang untuk menyesuaikan operasi mereka mengikut harga pasaran sebenar. Ia boleh mendorong inovasi dalam pengeluaran dan pengurusan kos di kalangan pemain industri.

 

Beliau bagaimanapun menegaskan kerajaan akan terus memantau stok gula sentiasa cukup untuk menampung bekalan dan memastikan harga tetap terkawal. - DagangNews.com