Kerajaan benarkan pengguna solar bumbung guna tenaga lebihan untuk imbangi caj bukan tenaga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan benarkan pengguna solar bumbung guna tenaga lebihan untuk imbangi caj bukan tenaga

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Julai -  Pengguna tenaga solar bumbung diberi kebenaran untuk menggunakan lebihan tenaga yang dijana bagi mengimbangi caj bukan tenaga, kata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra).

 

Kemudahan itu turut terpakai kepada pengguna voltan rendah yang berdaftar di bawah Skim Net Energy Metering (NEM) 2.0 bagi tempoh tahun 2019–2020.

 

Petra dalam satu kenyataan memaklumkan perkembangan itu adalah selaras dengan penstrukturan semula tarif elektrik bermula hari ini yang  memecahkan komponen tarif kepada dua bahagian utama iaitu caj tenaga dan caj bukan tenaga termasuk caj kapasiti dan penggunaan rangkaian.

 

"Langkah ini bertujuan untuk memberi kepastian kepada pemilik sistem solar bumbung mengenai hala tuju kerajaan dan memacu sasaran mencapai 70% campuran tenaga boleh baharu menjelang 2050.

 

"Bagi pengguna voltan sederhana dan tinggi di bawah NEM 2.0, lebihan tenaga yang dijana boleh digunakan bagi mengimbangi sehingga 25% daripada caj kapasiti dan rangkaian.

 

"Bagi pengguna komersial dan industri di bawah NEM 3.0 pula, mereka dibenarkan menggunakan lebihan tenaga untuk mengimbangi harga marginal sistem purata (average system marginal price)," menurut kenyataan itu.

 

Bagi pengguna isi rumah, kadar sebelum ini membenarkan jualan tenaga lebihan pada kadar sehingga 57.1 sen/kWh dan melalui struktur tarif baharu ini, caj tenaga yang dibenarkan ialah pada kadar maksimum 37.03 sen/kWh.

 

Petra memaklumkan caj tenaga bagi pengguna voltan rendah komersial dan industri kini ditetapkan antara 24.43 sen hingga 28.52 sen/kWh, bergantung kepada waktu penggunaan. 

 

"Ini lebih rendah berbanding struktur terdahulu yang mengenakan caj antara 38 sen hingga 50.9 sen/kWh.

 

"Bagi pengguna solar bumbung yang menerima insentif kecekapan tenaga atau insentif lain, kadar serta pengiraan insentif akan disemak semula bagi menjamin keadilan kepada semua kategori pengguna elektrik," menurut kenyataan itu.

 

Kerajaan juga menyelaraskan tempoh offset lebihan tenaga kepada 12 bulan bagi semua program solar bumbung  yang dijangka memudahkan pengurusan bil elektrik tahunan pengguna.

 

"Bagi pengguna sedia ada yang tempoh ‘offset’ telah tamat, mereka boleh beralih kepada program solar aktif seperti Solar for Self-Consumption (SelCo), Community Renewable Energy Aggregation Mechanism (CREAM) atau memasang sistem penyimpanan tenaga.

 

"Bagi pengguna yang masih berminat memasang sistem solar sendiri, program SelCo kini membolehkan imbangan sehingga 100% penggunaan sendiri," katanya. - DagangNews.com