Keperluan keuntungan lebih tinggi antara penambahbaikan baharu penyenaraian di pasaran utama - SC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keperluan keuntungan lebih tinggi antara penambahbaikan baharu penyenaraian di pasaran utama - SC

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 Mei - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperkenalkan beberapa penambahbaikan utama terhadap Pasaran Utama dan Pasaran ACE dalam usaha memperkukuh kualiti penyenaraian serta memperjelas segmentasi pasaran modal negara.

 

Dalam kenyataan hari ini SC memberitahu, bagi Pasaran Utama, antara penambahbaikan yang diperkenalkan termasuk keperluan keuntungan yang lebih tinggi dan kualiti pelaporan kewangan yang diperkukuh, fleksibiliti lebih besar dalam penilaian aliran tunai operasi serta peluasan kelayakan bagi penyenaraian berasaskan infrastruktur.

 

Bagi Pasaran ACE pula ia diperkukuh sebagai pasaran berasaskan penaja (sponsor-driven), dengan syarat rekod prestasi minimum dua tahun kewangan selepas penyenaraian sebelum boleh dipindahkan ke Pasaran Utama.

 

Pemansuhan pengecualian terhadap penajaan dan moratorium, serta pengenalan keperluan peruntukan pegangan saham awam minimum juga diperkenalkan dalam penambahbaikan Pasaran Ace.

 

SC berkata, Garis Panduan Ekuiti yang disemak semula serta Kertas Respons bertujuan meningkatkan akses kepada penyenaraian awam bagi penerbit, di samping memperjelas peranan serta memperkukuh pembezaan antara setiap segmen pasaran seperti berikut:

 

• Pasaran Utama – Pasaran utama bagi syarikat lebih besar dan dikenali

 

• Pasaran ACE – Pasaran bagi syarikat kecil dan sederhana yang berfungsi sebagai laluan peralihan ke Pasaran Utama.

 

Penambahbaikan ini adalah susulan proses rundingan awam yang telah selesai pada Disember 2025 di bawah kajian segmentasi pasaran, dengan mengambil kira maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan.

 

Cadangan yang diterima pakai bagi Pasaran Utama akan berkuat kuasa pada 3 Jun 2026 melalui Garis Panduan Ekuiti yang disemak semula.

 

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata penambahbaikan ini mencerminkan komitmen berterusan SC terhadap pengawalseliaan yang bersesuaian dengan tujuan iaitu seimbang, memudah cara serta responsif terhadap evolusi model perniagaan.

 

“Usaha ini menyokong inisiatif lebih luas SC dalam meningkatkan kecekapan kawal selia dan kecemerlangan tadbir urus seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030,” katanya.

 

Faiz menambah, segmentasi yang lebih jelas ini memperkukuh pembezaan antara lapisan pasaran, meningkatkan kualiti penyenaraian serta menyediakan laluan peralihan yang lebih tersusun bagi syarikat untuk berkembang daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama.

 

Maklumat lanjut boleh diperolehi di https://www.sc.com.my/regulation/guidelines/equity  dan  https://www.sc.com.my/regulation/consultation-papers - DagangNews.com