KUALA LUMPUR 26 Sept - Kenanga Research meningkatkan unjuran keuntungan bersih Top Glove Corporation Bhd bagi tahun kewangan 2025 (FY25) dan FY26 sebanyak 39% dan 42%.
Firma penyelidikan itu berkata, ini akibat peningkatan andaian volum jualan yang lebih baik yang memberikan prospek lebih baik kepada Kumpulan berkenaan.
Oleh itu, katanya, harga sasaran (TP) Top Glove dinaikkan daripada 97 sen sesaham kepada RM1.02 dengan saranan 'Market Perdorm' dikekalkan.
"Kami bertemu dengan pengurusan Top Glove. Petunjuk menunjukkan pemulihan permintaan yang kuat menjelang FY25 yang akan melebihi andaian kami sebelum ini.
"Kumpulan menekankan bahawa eksportnya ke AS terus menunjukkan peningkatan, yang kini menyumbang 28%-30% daripada campuran jualan geografi.
"Sebagai petunjuk, Top Glove telah melihat jualannya dari pasaran AS meningkat sebanyak 20% tahun ke tahun, menyumbang 15% dalam 9MFY24 berbanding purata pra-pandemik sebanyak 20%-30%," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Kenanga Reseach juga mengulangi ramalan yang pengeluar sarung tangan Malaysia merupakan penerima manfaat utama daripada kenaikan tarif oleh AS ke atas produk China.
"Kami menjangkakan harga saham sarung tangan akan meningkat dalam jangkaan lonjakan pendapatan jangka pendek, yang jelas merupakan berita baik untuk sektor ini.
"Kami kini menjangkakan situasi lebihan bekalan akan menjadi kurang ketara dan secara beransur-ansur bertambah baik," jelasnya.
Sementara itu, Kenanga Research tidak terganggu dengan pengukuhan semasa nilai ringgit berbanding dolar AS memandangkan momentum peningkatan volum jualan akan lebih daripada mengimbangi kesan daripada kenaikan ringgit.
Walau bagaimanapun kata firma itu, secara teorinya, nilai ringgit yang meningkat berbanding dolar AS akan membawa kepada pengurangan penerimaan hasil untuk pembuat sarung tangan.
"Ambil perhatian bahawa memandangkan harga bahan mentah nitril (30%-40% daripada jumlah kos) disebut dalam dolar, ini memberikan pengilang lindung nilai semula jadi kerana ASP juga disebut dalam dolar AS," katanya.- DagangNews.com








