Kenanga Research naik taraf Bursa Malaysia kepada ‘outperform’ selepas aktiviti dagangan 1Q2026 atasi jangkaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga Research naik taraf Bursa Malaysia kepada ‘outperform’ selepas aktiviti dagangan 1Q2026 atasi jangkaan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 10 April - Kenanga Research menaik taraf saranan Bursa Malaysia Bhd kepada ‘outperform’ dengan harga sasaran lebih tinggi RM9.25 berbanding RM8.80 sebelum ini, selepas prestasi aktiviti dagangan suku pertama 2026 mengatasi jangkaan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, purata nilai dagangan harian (ADV) bagi 1Q2026 mencecah RM3.34 bilion, iaitu 11% lebih tinggi daripada anggaran serta meningkat 27% berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Menurutnya, prestasi tersebut didorong oleh beberapa faktor termasuk aliran masuk pelabur asing susulan pengalihan daripada pasaran ekuiti Indonesia, peningkatan turun naik pasaran akibat ketegangan geopolitik melibatkan Iran dan gangguan di Selat Hormuz, serta lonjakan harga minyak mentah yang mencetuskan kebimbangan inflasi global.

 

“Berdasarkan ADV yang lebih kukuh pada 1QCY2026, kami menjangkakan momentum dagangan akan kekal menyokong dalam jangka terdekat sebelum beralih secara beransur-ansur kepada tema pelaburan berasaskan pemulihan,” katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Sehubungan itu, Kenanga menyemak semula andaian ADV bagi tahun kewangan 2026 kepada RM3.15 bilion, meningkat 11% daripada RM2.85 bilion sebelum ini.

 

Firma itu turut mengunjurkan ADV akan menyederhana secara berperingkat dengan 2QCY2026 dianggarkan pada RM3.20 bilion, diikuti purata RM3.05 bilion bagi separuh kedua tahun, sejajar dengan jangkaan normalisasi aktiviti dagangan.

 

“Pelarasan ini membawa kepada peningkatan kira-kira 5% dalam unjuran pendapatan FY2026F kami,” tambahnya.

 

Dari segi prestasi kewangan, Kenanga menganggarkan keuntungan bersih Bursa bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 berada dalam julat RM73 juta hingga RM78 juta, disokong oleh hasil berkaitan sekuriti yang menyumbang kira-kira separuh daripada jumlah pendapatan operasi.

 

Dalam pada itu, firma penyelidikan berkenaan menjangkakan pelabur akan terus cenderung kepada profil pendapatan defensif Bursa di tengah-tengah ketidaktentuan sektor, sekali gus meletakkannya sebagai pilihan ‘safe haven’.

 

Prospek pendapatan yang lebih kukuh juga berpotensi menghidupkan semula jangkaan terhadap pembayaran dividen khas, dengan pengisytiharan terakhir sebanyak lapan sen dibuat pada 2024.

 

Bagaimanapun, Kenanga mengingatkan bahawa risiko kepada penilaian tersebut termasuk jumlah dagangan yang lebih rendah daripada jangkaan, peningkatan kos operasi serta kekurangan penyenaraian awam permulaan (IPO).

 

Menurut data Bloomberg, konsensus semasa menunjukkan terdapat sembilan saranan ‘beli’, tujuh ‘pegang’ dan dua ‘jual’ ke atas saham berkenaan, dengan harga sasaran purata RM9.12 daripada 18 firma penyelidikan. - DagangNews.com