KUALA LUMPUR 22 April — Produk sel solar yang dieksport ke Amerika Syarikat (AS) dari Malaysia dan tiga lagi negara jiran serantaunya iaitu Kemboja, Thailand dan Vietnam akan dikenakan duti antilambakan baharu lebih tinggi.
Bagaimanapun, kadar ke atas Malaysia adalah yang paling rendah iaitu hanya 8.59 peratus berbanding duti antilambakan dan timbal balas (CVD) dikenakan terhadap keempat-empat negara Asia Tenggara tersebut.
Selain itu, ada beberapa syarikat tertentu yang berpangkalan di Malaysia, turut dikenakan duti setinggi 81.24 peratus kerana mereka didapati tidak bekerjasama dalam penyiasatan dilakukan oleh Jabatan Perdagangan AS.
Ia susulan siasatan lanjut dilaksanakan jabatan berkenaan terhadap import sel solar dari Kemboja, Malaysia, Thailand, dan Vietnam yang mendapati ada syarikat-syarikat pernah menerima subsidi dari China.
"Ini adalah antara penyiasatan CVD pertama dengan banyak penemuan kukuh terhadap syarikat terbabit memang menerima subsidi yang merentasi sempadan," kata Jabatan Perdagangan AS dalam satu kenyataan.
Langkah itu berikutan kes difailkan oleh American Alliance for Solar Manufacturing Trade Committee pada 2024, yang mengadu bahawa pengeluar China ada kilang di Asia Tenggara dan membuat lambakan produk tersebut di AS.
Ia menuduh pengeluar China melakukan amalan perdagangan tidak adil apabila mengelak tarif ke atas sel dan panel solar dengan mengalihkan rantaian bekalan serta menghantar produk melalui Kemboja, Malaysia, Thailand dan Vietnam.
Malaysia mengeksport produk solar yang bernilai AS$1.9 bilion (RM8.31 bilion) ke AS pada 2023, dan menerima subsidi boleh timbal pada purata sebanyak 34.41 peratus, menurut siasatan jabatan berkenaan.
AS juga memutuskan untuk mengenakan levi import sel fotovoltaik, sama ada dipasang ke dalam modul atau tidak, sebanyak 271.28 peratus untuk Vietnam, 125.37 peratus untuk Kemboja dan 111.45 peratus untuk Thailand.
Duti itu namun, masih bergantung kepada Suruhanjaya Perdagangan Antarabangsa, sebuah agensi AS yang berasingan, dan ada masa sehingga 2 Jun 2025 untuk membuat penentuan terakhir sebelum Jabatan Perdagangan AS menguatkuasakan cukai tersebut. - DagangNews.com








