Kenaikan saham Sunway REIT diramal terhad, penganalisis menilai isu dividen jadi faktor utama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan saham Sunway REIT diramal terhad, penganalisis menilai isu dividen jadi faktor utama

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 JanSunway Real Estate Investment Trust (REIT) mencatat prestasi FY25 yang kukuh, namun penganalisis menegaskan potensi kenaikan harga saham jangka pendek kini adalah terhad.


Mereka berpandangan yang situasi berkenaan disebabkan oleh isu hasil dividen yang dinilai menjadi menjadi penentu utama saham kumpulan amanah pelaburan hartanah tersebut berbanding purata sektor.


CGS International (CGSI) namun optimis susulan Sunway REIT menutup FY25 dengan keuntungan bersih teras RM424.3 juta, naik 21.2% tahun ke tahun (YoY) selari dengan jangkaannya serta Bloomberg.


"Pertumbuhan ini disokong oleh sumbangan aset baharu seperti Sunway 163 Mall di Selangor, Sunway Kluang Mall di Johor dan Aeon Mall Seri Manjung di Perak," jelas firma itu dalam notanya hari ini. 


Bagaimanapun tambahnya, ketiadaan pendapatan daripada penjualan kampus Sunway University & College melemahkan keuntungan bagi suku keempat FY25 kepada RM109.5 juta, susut 8% suku ke suku (QoQ).


Pembayaran dividen 2HFY25 diumumkan pada 8.8 sen, menjadikan jumlah FY25 iaitu 14.48 sen, naik 45%, dan CGSI menaikkan harga sasaran (TP) seunit kepada RM2.56 berbanding RM2.32 sebelum ini.


Firma itu namun menurunkan saranan kepada 'pegang' kerana hasil dividen FY26 diunjur 5.1% sedikit rendah berbanding purata sektor 5.7%, mengehadkan potensi kenaikan harga saham jangka pendek.

 

Artikel berkaitan: Untung bersih Sunway REIT meningkat 18.9% kepada RM112.6 juta bagi 4QFY25 disokong prestasi aset runcit


Sementara itu, TA Securities pula melaporkan keuntungan bersih Sunway REIT bagi FY25 adalah melebihi jangkaannya sendiri dengan disokong oleh prestasi daripada aset baharu serta sedia ada.


"Segmen runcit terus menjadi pemacu utama dengan kenaikan pendapatan bersih hartanah (NPI) 28.7% YoY, sementara hotel, pejabat dan perindustrian mencatat prestasi bercampur," tambahnya lagi.


Prospek FY26 dilihat positif dengan sokongan pertumbuhan domestik, pelancongan yang diramal meningkat di bawah inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026, dan momentum sewaan yang kukuh.


TA Securities menaikkan TP kepada RM2.70 seunit, namun mengekalkan saranan 'pegang', kerana penilaian saham Sunway REIT ketika ini sudah mencerminkan banyak faktor positif jangka pendek.


Pada masa sama jelas firma penyelidikan tersebut, hasil dividen kumpulan berkenaan dinilai sebagai masih kompetitif dan akan menjadi faktor utama yang mungkin mengehadkan kenaikan harga saham.


Secara keseluruhan, kedua-dua firma menegaskan kumpulan itu memiliki portfolio aset berkualiti dengan pertumbuhan kukuh, namun isu dividen menjadi faktor utama mengekang potensi kenaikan.


Bagaimanapun, dalam tempoh jangka pendek, mereka berpandangan yang prestasi FY25 terus dinilai menyokong unjuran positif untuk jangka sederhana. - DagangNews.com