KUALA LUMPUR 27 Jan – Mercury Securities mengekalkan saranan ‘pegang' ke atas AGX Group Berhad, dengan berpandangan yang potensi kenaikan harga saham syarikat itu kini dinilai sebagai terhad.
Situasi tersebut menurut firma penyelidikan itu berikutan penilaian tinggi yang sudah sepenuhnya mengambil kira jangkaan pertumbuhan jangka terdekat, meskipun asas perniagaan dan keterlihatan hasil kukuh.
Bagaimanapun ia menyemak naik harga sasaran (TP) kepada 56 sen berdasarkan 5.9 kali nilai nisbah syarikat berbanding hasil sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EV/EBITDA) bagi FY26.
"Unjuran ini sejajar rakan setara sektor, dan menegaskan kenaikan harga saham AGX akhir-akhir ini lebih didorong oleh faktor penilaian berbanding peningkatan asas operasi," kata Mercury Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, kemas kini terkini mengesahkan kedudukan strategik kukuh kumpulan, disokong pendedahan perdagangan intra-Asia berdaya tahan, yang membantu melindungi pendapatan.
Meskipun syarikat berdepan risiko geopolitik semakin meningkat di Eropah dan Amerika Syarikat (AS), ia mengekalkan unjuran pendapatan FY25 dan FY26 masing-masing pada RM17.0 juta dan RM17.2 juta.
Mercury Securities namun menyemak naik TP susulan EV/EBITDA FY26 yang naik, berbanding 5.5 kali sebelum ini, dengan logistik aeroangkasa kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan dan margin AGX.
"Kumpulan ini disokong menerusi kontrak daripada pelanggan syarikat penerbangan baharu di Vietnam, perluasan armada yang disokong 365 pesawat, dan pemulihan industri penerbangan serantau," katanya.
Pengurusan syarikat itu menyasarkan segmen ini menyumbang 50% daripada hasil kumpulan dalam jangka sederhana, dan firma tersebut turut menekankan kelebihan AGX menerusi model perniagaan aset ringan.
Usaha itu jelas Mercury Securities, menumpukan kepada penyelarasan logistik tanpa pemilikan aset kapal atau pesawat, membantu mengurangkan ketidaktentuan margin dan hubungan langsung pelanggan.
Dari segi kewangan, AGX kekal sihat dengan nisbah hutang rendah 0.22 kali dan kedudukan kecairan yang cukup, memberikan fleksibiliti untuk pengembangan terpilih termasuk pengoptimuman gudang.
"Kami namun berpandangan kenaikan harga saham AGX kebelakangan ini mendorong penilaian ke paras kurang menarik, dengan kini diniagakan 15 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) FY26," katanya.
Angka itu jelas Mercury Securities, dianggap premium sekitar 50% berbanding purata sector logistic dan pengangkutan, walaupun asas perniagaan AGX kekal kukuh dan keterlihatan pendapatan adalah baik.
Justeru tambah firma tersebut, potensi kenaikan harga saham kumpulan itu dilihat terbatas pada tahap semasa, melainkan terdapat pemangkin baharu atau penghantaran pendapatan yang lebih kukuh.
Selain itu, ia kekal berhati-hati terhadap prospek jangka panjang AGX, disokong oleh pemulihan aktiviti penerbangan serantau, permintaan penyelenggaraan, inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Antara risiko utama dikenal pasti termasuk perubahan peraturan, kadar pengangkutan laut dan udara, ketegangan geopolitik, serta kebergantungan kepada pelanggan utama," katanya. - DagangNews.com








